Bolehkah solat jamak semasa banjir?


  • Mukmin
  • Isnin, 20 Dis 2021

UMAT Islam digalakkan untuk berdoa pada waktu genting seperti banjir. — Facebook

MANGSA banjir di Lembah Klang dan beberapa kawasan di semenanjung pasti mengalami kesukaran dalam menyelamatkan diri, keluarga serta sibuk membersihkan kawasan perumahan rumah mereka.

Mungkin ada yang akan tertanya-tanya sama ada dibolehkan solat jamak di waktu genting seperti situasi banjir.

Bagi mengulas isu itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berkata dalam laman web rasminya, adalah tidak boleh untuk mangsa banjir melakukan solat jamak semasa ditimpa bencana tersebut.

"Ini kerana, mangsa banjir pada kebiasaannya ditempatkan di dalam penempatan sementara seperti dewan orang ramai, sekolah-sekolah, dan sebagainya. Berkumpulnya mereka di situ sahaja sudah membolehkan untuk mereka solat berjemaah pada setiap solat fardhu," kata agensi itu.

Namun, PMWP berkata, ada syarat tertentu yang membenarkan solat jamak ketika hujan dilaksanakan iaitu jamak yang dilakukan mestilah jamak taqdim, dan bukannya jamak ta'khir.

"Syarat yang kedua ialah solat yang kedua (Asar atau Isyak) mestilah dilakukan secara berjemaah di masjid.

" Ia mestilah dilakukan di masjid, bukannya di rumah. Masjid atau surau itu mestilah jauh jaraknya sehingga hujan itu memberi kesan kepada orang yang hendak menunaikan solat. Sekiranya rumah berdekatan masjid, tidak dibolehkan jamak.

"Tidak boleh jamak melainkan hujan yang membasahi pakaian. Hujan yang tidak membasahkan pakaian, tidak boleh jamak kerana ia tidak memberi kesan mudarat pada pakaian. Begitu juga salji, hukumnya adalah sama seperti hujan," kata agensi itu.

Semoga banjir yang melanda akan surut secepatnya dan umat Islam digalakkan untuk berdoa pada waktu genting seperti banjir sebagaimana ayat Al-Quran yang dimaksudkan ialah firman ALLAH Taala:

وقِيل يا أرضُ ابلعِي ماءكِ ويا سماءُ أقلِعِي وغِيض الماءُ وقُضِي الأمرُ واستوت على الجُودِيِ ۖ وقِيل بُعدا لِلقومِ الظالِمِين

"Maksudnya: “Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: "Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu". Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung "Judi" serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): "Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim," (Surah Hud:44). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram