Jangan lupa bayar zakat fitrah! Berikut waktu terbaik untuk laksanakan Rukun Islam keempat


  • Mukmin
  • Rabu, 19 Apr 2023

Sudah menjadi tanggungjawab umat Islam melaksanakan tanggungjawab membayar zakat fitrah kerana hal itu termaktub dalam Rukun Islam. — Bernama

MASA berjalan begitu pantas. Tanpa sedar Ramadan yang bermula pada 23 Mac lalu kini sudah menghampiri Syawal.

Moga setiap amalan dan perbuatan sepanjang bulan puasa ini mendapat reda ALLAH dan diharapkan agar dipertemukan lagi pada Ramadan akan datang.

Pelbagai amalan boleh dilakukan sepanjang bulan mulia ini. Antaranya membaca al-Quran, solat sunat tarawih, solat sunat, bersedekah dan menjaga semua pancaindera agar tidak mendekati perbuatan bertentangan dengan agama.

Semua itu, insya-ALLAH ada ganjaran yang dijanjikan oleh SANG PENCIPTA. Begitu juga dengan melaksanakan tanggungjawab membayar zakat fitrah.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Luqman Abdullah, terdapat beberapa waktu dan hukum berbeza terkait dengan pembayaran zakat fitrah.

df67e1567172f026c08477eba6eca6b55e9d73675eefd

Berhati-hati dalam soal pembayaran zakat fitrah kerana bimbang jatuh kepada hukum haram. — Bernama

Beberapa situasi tersebut ialah;

Harus

Membayar zakat fitrah setelah masuknya bulan Ramadan.

Waktu harus bagi umat Islam untuk mengeluarkan zakat fitrah ialah masuknya 1 Ramadan sehingga berakhir bulan puasa.

Wajib

Membayar zakat fitrah pada malam 1 Syawal.

Membayar zakat fitrah pula ialah pada hari akhir Ramadan ketika waktu senja atau terbenamnya matahari pada hari tersebut.

Afdal (sesuai)

Membayar pada pagi hari raya iaitu setelah terbitnya matarahari sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Hal ini kerana Rasulullah SAW sendiri mengeluarkan zakat sebelum baginda mengerjakan solat sunat Aidilfitri seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A maksudnya:"Nabi SAW memerintahkan untuk membayar zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk mengerjakan solat (hari raya).” (Riwayat Bukhari: 1509)

d755508a8ba8a72f6762620447970ea35e9d3e1f2826f

Membayar zakat fitrah menjadi kewajiban umat Islam memandangkan hal itu dinyatakan dalam Rukun Islam. — Bernama

Makruh

Membayar zakat fitrah selepas selesai solat sunat Aidilfitri.

Selain itu hukumnya sunat tidak melewatkan bayaran zakat selepas daripada solat berkenaan kerana jika dilewatkan hukumnya makruh.

Haram

Melewatkan pembayaran sehingga luput 1 Syawal.

Sesiapa yang sengaja melewatkan bayaran zakat fitrah pada waktu yang telah diwajibkan, hukumnya bukan sahaja haram malah wajib menggantikan zakat tersebut dengan serta merta.

Secara kesimpulan, terdapat lima waktu untuk membayar zakat fitrah iaitu harus, wajib, alfal, makruh dan haram.

Semoga kita semua saling melaksanakan tanggungjawab rukun Islam keempat itu demi pembangunan ummah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram