MENANGIS adalah salah satu cara untuk bayi berkomunikasi dengan orang dewasa terutamanya ibu bapa atau penjaga mereka.
Suara tangisan itu boleh dikatakan sebagai isyarat atau tanda sama ada lapar, tidak selesa kerana lampin basah atau inginkan perhatian.
Tanpa mengira waktu, anak kecil atau bayi akan menangis meminta untuk didukung.
Ibu bapa yang prihatin akan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan anak mereka terus menangis.
Namun, bagaimana pula jika bayi terbabit menangis ketika ibu bapa sedang menunaikan solat fardu.
Disebabkan tangisan teresak-esak, ibu bapa akan menghentikan solat disebabkan tidak sampai hati mendengar suara anak mereka.
Suaran tangisan tentu sekali mengganggu seseorang itu ketika menunaikan solat.
Dalam keadaan begitu, tentu sahaja timbul persoalan tentang kebenaran untuk memberhentikan solat fardu semata-mata untuk memujuk si anak.
Mengulas mengenai situasi itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Abdullah menyatakan perbuatan membatalkan solat fardu dipertengahan kerana anak menangis adalah haram.
Selagi tangisan anak tidak sampai ke tahap yang membimbangkan tentang keselamatan, ibu bapa perlu meneruskan solat.
Dalam Islam, membatalkan sesuatu amalan dengan sengaja tanpa sebab yang dibolehkan syarak amat dilarang sama sekali.
Melihat kepada perkara itu, seseorang yang sedang mendirikan solat fardu tidak boleh membatalkan solatnya melainkan jika terdapat keuzuran yang dibenarkan syarak.
Anak kecil akan mengangis untuk meminta perhatian atau memberitahu bahawa mereka sedang lapar mahupun tidak selesa.
Firman ALLAH SWT dalam surah Muhammad, ayat 33 bermaksud; “Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kepada Rasul ALLAH dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!”
Antara keuzuran yang dibenarkan syarak ialah membunuh kala jengking, ular, menyelamatkan diri daripada bahaya atau apa sahaja yang boleh memberikan mudarat kepada diri orang yang sedang menunaikan solat.
Perkara tersebut berdasarkan hadis Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bunuhlah dua binatang hitam ketika solat iaitu ular dan kala jengking.”
Oleh itu, anak menangis ketika penjaganya sedang melakukan solat fardu bukan termasuk dalam perkara darurat yang membolehkan penjaganya membatalkan solat fardu melainkan jika tangisan tersebut seolah-olah boleh membahayakan nyawanya.
Jika penjaga risau tentang keadaan anaknya yang sedang menangis melainkan jika tangisan tersebut seolah-olah boleh membahayakan nyawanya, boleh meringan dan mempercepatkan solat dengan melakukan rukun solat sahaja tanpa melakukan perkara sunat dalam solat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram