SETIAP insan tidak dapat lari daripada masalah, tidak kiralah sama ada melibatkan pekerjaan, peribadi, keluarga atau kewangan.
Disebabkan sering dibelenggu masalah, seseorang itu ada kalanya rasa terbeban terutama jika ia melibatkan rezeki.
Namun, apa yang pasti bertakwalah kepada ALLAH dan mintalah kepadaNYA tanpa jemu. Ini kerana sifat SANG PENCIPTA itu Maha Mengetahui dan Maha Mendengar. Insya-ALLAH dalam ibadah dan doa, tentu sahaja ada permintaan yang diperkenankan olehNYA.
ALLAH SWT berfirman dalam al-Quran surah al-Talaq, ayat 2 dan 3: "Dan sesiapa yang bertaqwa kepada ALLAH (dengan mengerjakan suruhanNYA dan meninggalkan laranganNYA), nescaya ALLAH akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada ALLAH, maka ALLAH cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)."
Berdoa di dalam rumah ALLAH antara yang disarankan dalam Islam.
Selain daripada melaksanakan perintah ALLAH, salah satu cara yang boleh dilakukan bagi memohon pertolongan ialah dengan berdoa kepadaNYA.
Berdoa juga penting bagi seseorang yang tidak hanya baik untuk rohani, tetapi perbuatan itu turut mempengaruhi secara jasmani.
Daripada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad iaitu seorang cendekiawan dan pengasas kepada mazhab Hanbali diriwayatkan, Rasulullah SAW berpesan sesiapa yang berdoa dengan doa Nabi Yunus, maka ALLAH akan memperkenankan doa mereka.
Sabda Rasulullah yang bermaksud; "Sesungguhnya tidak ada muslim yang berdoa dengannya untuk apa saja (hajatnya), melainkan akan dimakbulkan ALLAH doanya itu.” (Hadis Riwayat Ahmad).
Oleh itu, terdapat beberapa doa yang boleh diamalkan untuk keluar daripada kesusahan atau kesulitan yang dihadapi.
Doa merupakan kunci dan jalan bagi setiap umat Islam untuk meminta pertolongan serta perlindungan dari ALLAH SWT.
1) Doa ketika ditimpa kesulitan hidup
Dari Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW berdoa ketika dalam kesulitan:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
Maksudnya: Tiada TUHAN yang berhak disembah selain ALLAH yang Maha Agung lagi Maha Penyayang. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH pemilik Arasy yang agung. Tiada TUHAN yang berhak disembah selain ALLAH yang menciptakan langit dan bumi, dan pemilik Arasy yang mulia.
2) Doa ketika sedang kesulitan rezeki
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ، فَإِنَّهُ لاَ يَمْلِكُهَا إِلاَّ أَنْتَ
Maksudnya: Ya ALLAH, aku memohon kepadaMU tambahan kurniaMU dan rahmatMU, kerana sesungguhnya tidak ada yang memilikinya kecuali DIRIMU.
3) Doa Nabi Musa agar dilapangkan dada
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
Surah Taha, ayat 25-28 maksudnya: Ya ALLAH, lapangkan untukku dadaku. Dan mudahkanlah urusanku. Dan lepaskan kekakuan dari lidahku. Agar mereka dapat dengan mudah mengerti perkataanku.
4) Doa meminta perlindungan daripada takdir buruk
اَللّٰهُمَّ اِنِّىْ اَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِالْبَلَاءِ وَدَرْكِ الشَّقَاءِ وَسُوْءِ الْقَضَاءِ و شَمَاتَةِ الْاَعْدَاءِ
(Sahih Bukhari) Maksudnya: Ya ALLAH, aku berlindung kepadaMU dari menemui penderitaan, daripada takdir yang buruk dan daripada keberhasilan musuh.
5) Doa dipermudah segala urusan
اللهُمَّ لا سَهْلَ إلا مَا جَعَلتَهُ سَهْلا وَ أنتَ تَجْعَلُ الحزْنَ إذا شِئْتَ سَهْلا
(Sahih Ibnu Hibban) maksudnya: Wahai TUHANKU, tiada kemudahan melainkan apa yang ENGKAU jadikan mudah dan perkara yang susah boleh Engkau jadikan mudah apabila Engkau mengkehendakinya.
Semoga dengan amalan beberapa doa tersebut dapat membuatkan kehidupan lebih tenang dan diberikan kelapangan dada oleh ALLAH SWT selain dimurahkan rezeki dunia serta akhirat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,