Rekaan serlah identiti 27 etnik Sarawak bawa Zack ke pentas antarabangsa


Zack (dua dari kiri) menerima hadiah trofi, wang tunai dan sijil penyertaan daripada Nippon Paint selaku pemenang Anugerah Emas kategori Rekaan Dalaman.

PELAJAR tahun akhir jurusan Seni Rekaan Dalaman City University Malaysia, Zachary Ding Tok dinobatkan sebagai Anugerah Emas bagi kategori Rekaan Dalaman di Anugerah Pereka Muda Asia 2022 (AYDA) yang berlangsung meriah di hotel terkemuka di ibu kota pada Khamis.

Mengetengahkan rekaan dan kesenian budaya masyarakat Sarawak, Zachary atau mesra dipanggil Zack, 20, meluahkan rasa bangga dan bersyukur atas kemenangan itu. Dia membawa pulang trofi, hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penyertaan.

Bagi Zack, setiap usaha keras dan kesabaran berbaloi apabila turut berpeluang untuk menimba pengalaman selama tiga minggu di Harvard School of Design, Harvard Graduate School, Universiti Harvard, Massachusetts, Amerika Syarikat.

Mewakili Malaysia, Zack bagaimanapun perlu bersaing dengan peserta lain dari beberapa negara antaranya Bangladesh, China, Hong Kong, Indonesia, Iran, Japan, Pakistan, Thailand dan Turkiye untuk mendapatkan hadiah utama berkenaan.

KLLB6496

“Pertandingan itu dijadualkan berlangsung di Vietnam pada bulan Jun tahun depan. Saya akan berusaha untuk memperbaiki rekaan sedia ada termasuk cara perbentangan di hadapan umum.

“Kesemua yang bertanding pada Jun nanti juga adalah pemenang Anugerah Emas bagi kategori sama di negara masing-masing. Tentu mereka mempunyai kelebihan dan kehebatan tersendiri. Disebabkan itu saya perlu lebih bersiap sedia,” katanya kepada Majoriti.

Kamek

Bercerita tentang rekaannya, Zack menyifatkan Kamek sebagai salah satu gerbang dan membuka peluang kepada masyarakat luar untuk lebih mengenali budaya serta tradisi masyarakat di Sarawak.

Diberi nama Kamek yang membawa maksud saya dalam dialek Sarawak, Kamek diharapkan dapat menjadi sebuah Pusat Kajian dan Komuniti, Kesenian Budaya. Bukan sahaja menarik masyarakat tempatan, bahkan pelancong antarabangsa juga akan dapat menikmati keindahan budaya dan seni penduduk setempat.

KLLB6262

Meskipun rekaan tersebut secara maya untuk tujuan akademik, namun Zack tetap mengharapkan suatu hari nanti dia mampu untuk merealisasikannya ke dunia nyata sekali gus memperlihatkannya dalam bentuk fizikal.

“Sasaran saya pada masa hadapan ialah memperkenalkan budaya dan tradisi Sarawak secara meluas tidak hanya di tanah air, tetapi turut ke peringkat antarabangsa. Rekaan seni bina yang mencerminkan budaya Sarawak memang ada di Malaysia, tetapi seni bina rekaan dalaman yang menggabungkan 27 etnik tempatan, mungkin masih belum banyak.

“Di samping itu, saya juga ingin mencari identiti dan menonjolkan seni rekaan budaya, agar hasilnya tidak lapuk atau terlalu moden bagi masyarakat etnik Sarawak,” jelasnya.

Anak sulung daripada dua beradik itu turut memberitahu dia mengambil masa sekitar lima atau enam bulan untuk membuat kajian mengenai rekaan terbabit.

majoriti2022 (20)

Perkara itu penting kerana dia perlu memahami tentang asal usul, gaya hidup dan budaya setiap etnik sebelum menterjemahkannya dalam bentuk rekaan.

Mengakui perkara tersebut bukan mudah, Zack yang juga kacukan etnik Sarawak, Orang Ulu dan Cina menganggap memelihara budaya dan adat resam penting bagi menghargai warisan peninggalan nenek moyang untuk generasi akan datang.

“Campuran gaya hidup bandar dengan luar negara kadangkala membuatkan kita lupa tentang asal usul. Ada yang dilahirkan di Sarawak, tetapi dibesarkan di bandar membuatkan mereka tidak mengenal asal usul termasuk tidak mampu bertutur dialek etnik,” ujarnya.

Disebabkan itu, Zack mengharapkan Kamek bukan sahaja dapat membuka mata masyarakat, tetapi mampu dijadikan inspirasi dalam usaha memartabatkan budaya dan kesenian.

KLLB6219

Untuk rekod, Anugerah AYDA mula diperkenalkan pada 2008 yang merupakan salah satu usaha Nippon Paint dalam mencungkil bakat muda dalam bidang rekaan seni bina dan hiasan dalaman.

Selain Malaysia, acara tersebut diadakan di 16 negara lain antaranya Filipina, Taiwan, Sri Lanka, India, Singapura dan Vietnam. Jenama tersebut turut mempunyai perancangan untuk meluaskan anugerah ke tersebut ke beberapa negara lain pada masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram