Sorok kahwin: Kenapa pilih fitnah dan dosa sedangkan boleh dapat pahala


  • Mukmin
  • Sabtu, 24 Dis 2022

Perkahwinan yang indah adalah dikongsi kebahagiaan bersama keluarga dan orang terdekat. - Gambar hiasan

PERKAHWINAN merupakan sebuah pertalian indah yang dibina antara dua insan dan hubungan istimewa ini amat digalakkan bagi umat Islam umumkan kepada khalayak.

Baru-baru ini, kecoh seorang selebriti terkenal yang didakwa melangsungkan perkahwinan keduanya, namun berita itu dinafikan artis terbabit juga keluarganya mahupun pasangannya.

Menurut portal Mufti Wilayah Persekutuan, tidak ada masalah sekiranya seorang suami untuk tidak memberitahu status perkahwinannya ketika berbual dengan wanita lain yang bukan isterinya.

Bagaimanapun, tindakan itu boleh menimbulkan persepsi negatif, fitnah dan salah faham.

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada al-Imam al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus: Zahirkan pernikahan dan sembunyikan pertunangan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad turut menyatakan, jika benar telah bernikah maka perkahwinan mereka masih sah di sisi Islam namun tindakan merahsiakannya boleh menimbulkan fitnah.

"Perkara yang baik, seperti perkahwinan perlu dihebahkan, namun apabila disorok dari pengetahuan umum akan memberikan kesan negatif kepada pasangan tersebut," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-12-23 at 4.56.47 PM

"Mereka yang merahsiakan perkahwinan boleh membuka ruang kepada orang lain untuk menabur fitnah.

"Seperti contoh, sekiranya pasangan tersebut keluar berdua-duaan dan dilihat oleh umum, tidak semena-mena orang awam memandang serong kepada mereka seterusnya menimbulkan fitnah kepada pasangan tersebut.

"Sedangkan tidak salah dan berdosa buat pasangan suami isteri tersebut untuk keluar bersama meluangkan masa," tambahnya.

Pada masa sama, Mufti Kelantan berpendapat tindakan itu boleh dianggap sebagai menipu, sedangkan sebagai seorang Muslim, menipu merupakan antara dosa besar dalam Islam dan lawan bagi sifat tipu adalah benar serta beriman.

"Tindakan suami mahupun isteri yang cuba menyorokkan status perkahwinan boleh membuka ruang kepada mereka untuk membina hubungan baru dengan insan lain.

"Perbuatan tersebut dikira menipu pasangan mereka dan boleh mendapat dosa," ujarnya.

Oleh itu, sebagai seorang suami yang bertanggungjawab sebaiknya menghindari akhlak sebegini untuk menjaga keharmonian dan kasih sayang keluarga dalam tempoh masa panjang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram