SEJAK memegang tampuk pemerintahan negara pada 24 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak tampil dengan beberapa tindakan tegas.
Satu daripadanya adalah berkaitan dengan penyelesaian kos sara hidup rakyat sehinggakan beliau sanggup mengadakan mesyuarat pada hujung minggu.
Selain itu, beberapa tindakan segera untuk menangani isu kos sara hidup seperti harga dan bekalan barangan serta subsidi juga giat dirancang untuk memastikan rakyat tidak terbeban.
Namun, di sebalik tindakan untuk membantu rakyat, Anwar juga nampak tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menabur fitnah atas dirinya.
Malah, sejak bergelar Perdana Menteri, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengambil tindakan sama terhadap beberapa pemimpin politik.
Berikut Majoriti senaraikan empat pemimpin politik yang dikenakan tindakan saman oleh Anwar.
Muhyiddin Yassin
Anwar mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung video berbaur fitnah yang mendakwa beliau menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor.
Satu notis tuntutan supaya Muhyiddin dituntut menarik balik video ucapan semasa ceramah Grand Finale PN Padang Serai mengenai Anwar di aplikasi TikTok di bawah nama @beritakini8, perkataan-perkataan memfitnah selain memadam atau menarik balik segala komen yang menyinggung perasaan dan bersifat fitnah.
Selain itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga menuntut aku janji bertulis daripada Muhyiddin untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen seperti dalam video tersebut selain ganti rugi.
Pejabat Menteri Besar Selangor telah menafikan dakwaan berkaitan tuntutan RM15 juta itu dan menegaskan bayaran simbolik yang diterima Anwar hanyalah sebanyak RM1.
Ahmad Amzad Hashim
Anwar memfailkan satu surat tuntutan maaf terhadap Ahli Parlimen PAS berhubung dakwaan beliau menerima RM15 juta bagi khidmatnya sebagai penasihat ekonomi kerajaan Selangor
Selain itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut didakwa mengatakan bahawa pengampunan diraja terhadap Anwar pada 2018 membuktikan beliau bersalah atas tiga tuduhan, iaitu satu melibatkan salah guna kuasa, dan dua berkaitan liwat.
Dalam notis itu, peguam Anwar memaklumkan kenyataan Amzad itu tidak benar, memfitnah dan berniat jahat.
Tambahnya, kenyataan berkenaan juga menghina institusi Raja-raja Melayu, dan mencabar keputusan serta kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V untuk memberi pengampunan penuh terhadap Anwar, seperti termaktub dalam perlembagaan.
Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dikenakan saman fitnah berhubung ucapan yang didakwa mengaitkan Anwar membawa budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta menyokong ideologi komunis.
Anwar mendakwa pada 6 November lalu, Razman berucap mengenai perkara itu pada kempen Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) di pasar malam Tebuk Pancur, Perak.
Ucapan itu juga disiarkan secara langsung melalui klip video di akaun Facebook Razman dan diterbitkan menerusi artikel di dalamm sebuah portal berita.
Ahli Parlimen Tambun itu mendakwa kata-kata fitnah itu dan penerbitan artikel berkenaan antara lain membawa maksud beliau adalah seorang penipu, mengamalkan dan menyokong ideologi komunis serta menggalakkan perkahwinan sejenis.
Muhammad Sanusi Md Nor
Anwar memfailkan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung ucapan berbaur fitnah dalam satu kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun'.
Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.
Anwar mendakwa kenyataan-kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang PRU15 pada 19 November lalu.
Dakwanya, akibat daripada kenyataan fitnah itu menyebabkannya dihina, mendapat cemuhan daripada masyarakat selain memudaratkan imej dan reputasi baiknya sebagai Presiden PKR, Pengerusi PH, Ahli Parlimen Tambun, Perdana Menteri ke 10 dan Menteri Kewangan Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram