Musim raja sehari, apa hukum pengantin lelaki pakai inai di jari


  • Mukmin
  • Jumaat, 23 Dis 2022

Haram bagi pengantin lelaki memakai inai di jari ketika berkahwin manakala digalakkan buat pengantin perempuan.

PEMAKAIAN perhiasan inai di jari pengantin wanita bukan satu perkara asing memandangkan perkara itu sudah dianggap ‘kewajipan’ buat raja sehari.

Perkara itu ada kalanya turut melibatkan pengantin lelaki. Namun, penggunaan inai hanya digayakan pada tiga jadi sahaja iaitu jari kelingking, manis dan tengah.

Bagaimanapun terdapat pandangan mempertikai tentang penggunaan inai dalam kalangan kaum lelaki.

Melihat kepada itu, menerusi fatwa-157 bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan bahawa inai adalah perhiasan bagi wanita dan bukannya untuk lelaki.

Dalam hadis diriwayatkan daripada Aisyah R.A: “Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?. Jawab perempuan tersebut: Perempuan. Lalu Baginda berkata: Jikalau kamu ini perempuan, nascaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”.

artist-making-mehndi-womans-hand-near-tea-cup

Riwayat Abu Daud (4166), al-Nasa’ie di dalam al-Kubra (9311) & Ahmad di dalam Musnadnya (26258). Al-Albaani menilainya Hasan.

Setelah mengetahui bahawa inai itu adalah perhiasan bagi wanita, maka dalam sebuah hadis yang lain terdapat larangan bagi menyerupai wanita. Sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma: Rasulullah SAW telah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki.” (Riwayat Al-Bukhari 5885)

Al-Imam Ibn Battal Rahimahullah menyebutkan bahawa al-Tabari Rahimahullah mengatakan bahawa pada hadith terdapat fiqhnya iaitu tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita pada sudut pakaian, perhiasan yang dikhususkan buat wanita.

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW pernah membuang daerah lelaki mukhannas yang mengenakan inai pada kedua tangan dan kakinya. Daripada Abu Hurairah RA:

Sesungguhnya Nabi SAW didatangkan kepada Baginda seorang mukhannas yang mana menginai kedua tangan dan kakinya. Maka Nabi SAW berkata: Apa halnya dengan lelaki ini? Maka dikatakan: Ya Rasulullah, lelaki ini menyerupai wanita. Lalu Rasulullah SAW mengarahkan agar lelaki tersebut di buang daerah ke al-Naqii. Maka mereka berkata: Ya Rasulullah, mengapa kita tidak membunuhnya? Maka jawab Baginda: Sesungguhnya aku dilarang untuk membunuh orang yang solat. (Riwayat Abu Daud 4928).

artist-making-mehndi-womans-palms

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam al-Majmu’: Adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dalam kalangan perempuan berdasarkan hadis masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat. (Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr, 1/294)

Melihat kepada itu, ahli agamawan cenderung mengatakan pemakaian inai digalakkan bagi perempuan yang sudah berkahwin, begitu juga untuk tujuan berhias.

Namun, tidak boleh bagi lelaki untuk berinai sama ada untuk tujuan perkahwinan, begitu juga atas dasar perhiasan untuk kelihatan cantik melainkan tujuan berubat yang mana berinai dapat membantu menyembuhkan penyakit tertentu.

Pemakaian inai pada rambut bagaimanapun tidak dihalang kerana perbuatan itu dibenarkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram