MUSIM cuti sekolah lazimnya menjadi waktu yang dinantikan oleh bakal raja sehari. Mereka akan menggunakan kesempatan yang ada untuk melangsungkan majlis perkahwinan bagi memudahkan kehadiran tetamu.
Perkahwinan merupakan perkara yang dituntut dalam agama Islam selain menjadi sunnah Nabi Muhammad SAW.
Selain daripada pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua saksi dan ijab serta kabul yang menjadi rukun nikah, pemberian mahar juga antara salah satu tuntutan syarak.
Mahar merupakan perkatakan daripada bahasa Arab yang bermaksud pemberian wajib daripada suami kepada isteri disebabkan pernikahan. Dalam kata mudah, mahar merupakan mas kahwin yang perlu diberikan kepada isteri oleh suami ketika menikah.
ALLAH berfirman: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mahar-mahar mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan rela memberikan kepada kamu sebahagian dari mahar itu maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) dengan selesa dan senang”. (Surah Al-Nisa: ayat 4)
Mufti Perlis, Profesor Datuk Maza atau nama sebenarnya Mohd Asri Zainul Abidin berkata, mahar adalah hak isteri dan haram mengambil mahar tersebur daripada isteri melainkan dengan keredaannya.
“Jika suami mengambilnya tanpa kerelaannya, bererti dia mengambil secara haram. Sekiranya dia mengambil tanpa kerelaan isteri, wajib dia kembalikan.
“Zalim dan haram perbuatan tersebut dan sekiranya berlaku penceraian tanpa sempat dia melunatkan mahar, bererti itu adalah hutang yang wajib dia bayar. Berdosa besar jika dia tidak melunaskannya,” katanya.
ALLAH berfirman: ”Dan jika kamu mahu menggantikan isteri dengan isteri yang lain sedang kamu sudah memberikan kepada salah seorang daripda merekaharta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikit pun daripada harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak adil dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata? Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mersa kamu sudah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) sudah mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?” (Surah Al-Nisa: ayat 20-21) — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram