‘Kalau setakat rakam nampak lemah' — Mufti ulas orang awam tak tegur pasangan gay buat maksiat dalam surau


  • Mukmin
  • Jumaat, 28 Okt 2022

Tangkap layar video tular memaparkan dua lelaki melakukan hubungan terlarang di dalam sebuah surau baru-baru ini.

HUBUNGAN sesama jenis atau amalan Lesbian Gay Biseksual dan Transgender (LGBT) sememangnya haram dalam Islam.

Apatah lagi, hubungan tersebut dilakukan di tempat yang tidak sepatutnya.

Baru-baru ini, tindakan dua lelaki yang didakwa pasangan sejenis mengundang amarah warga maya, selepas perbuatan jelik mereka tular di media sosial pada Selasa malam.

Rakaman video yang dimuat naik halaman Facebook Netizen Kuala Langat itu memaparkan, dua orang lelaki homoseksual dilihat sedang asyik bermadu asmara di ruang solat sebuah surau.

Orang awam yang melihat perbuatan tersebut hanya memandang sinis, selain merakam video berkenaan sebelum ia tersebar.

Mengulas mengenai perkara itu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, orang ramai khususnya umat Islam perlu memandang serius tentang perbuatan maksiat tersebut.

Mufti Terengganu itu berkata, mereka perlu menegur perbuatan itu sekiranya mampu.

“Kalau tak mampu, kita perlu berdoa namun ia adalah tindakan selemah-lemah iman,” katanya kepada Majoriti.

Bagi membanteras kegiatan itu, Mohamad Sabri berkata, semua pihak perlu berganding bahu mengadakan kerjasama.

Sebagai contoh, beliau berkata, institusi pusat ibadat seperti masjid dan surau selalunya mempunyai ahli jawatankuasa tersendiri.

“Kita kena ada tindakan lepas tu kena ada pihak berkuasa supaya perkara itu akan diambil tindakan.

“Kalau setakat merakam dan tak buat apa-apa, ini membayangkan sebuah masyarakat lemah.

“Ini seterusnya akan menjadikan maksiat itu semakin merebak,” katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram