ALLAH ganti lebih baik jika tinggalkan sesuatu untuk dapat reda-Nya


  • Mukmin
  • Jumaat, 02 Sep 2022

Surah al-Kahfi menceritakan tentang pasangan suami isteri yang kehilangan anak sebelum mereka digantikan dengan anak yang lebih baik. — Gambar hiasan

SETIAP langkah yang seseorang lakukan kerana ALLAH SWT, Dia akan memberi ganjaran yang setimpal.

Andai seseorang meninggalkan sesuatu semata-mata untuk mencari keredaan ALLAH SWT, maka ALLAH akan menggantikannya dengan perkara lebih baik.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya tidaklah kamu meninggalkan sesuatu kerana ALLAH, melainkan ALLAH akan menggantikan buatmu dengan sesuatu yang lebih baik darinya." Hadis Riwayat Ahmad

Menerusi laman Telegram, Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, kaum Muhajirin sanggup meninggalkan aset, rumah serta harta mereka semata-mata untuk berhijrah ke Madinah kerana ALLAH SWT.

Lantaran itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, ALLAH SWT memberi gantian lebih baik buat mereka.

"Mereka bukan sekadar mendiami Madinah, bahkan setelah itu menjadi gabenor dan pemerintah ke atas sebahagian besar dari wilayah timur tengah termasuk bekas jajahan Rom dan Parsi.

"Begitu juga dengan Nabi Sulaiman yang dikatakan menyembelih kuda-kuda kegemarannya, yang membuatkan dirinya terleka seketika dari mengingati solat. Lalu Baginda menyembelih kuda-kuda tersebut kerana ALLAH. Maka, ALLAH gantikan dengan angin yang bergerak mengikut perintahnya," katanya.

Ahmad Sanusi berkata, perkara tersebut sama seperti situasi yang mana ALLAH menggantikan kehilangan yang dialami seseorang dengan sesuatu yang lebih baik, sekiranya mereka bersabar dan mentaati perintah-Nya.

Menerusi surah al-Kahfi, katanya, ALLAH menceritakan tentang pasangan suami isteri yang kehilangan anak, sebelum mereka digantikan dengan anak yang lebih baik.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya." Surah al-Kahfi: 81

Justeru, Ahmad Sanusi menasihatkan umat Islam supaya yakin dengan ketentuan ALLAH SWT.

Beliau berkata, kehilangan sesuatu atau meninggalkan sesuatu semata-mata untuk mencapai keredaan ALLAH adalah tindakan yang terpuji.

"Malah, ALLAH berupaya menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik buat kita," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram