Mufti kongsi sepotong ayat, bertemu jodoh tepat


  • Mukmin
  • Khamis, 01 Sep 2022

Berdoa kepada ALLAH boleh dilakukan tanpa mengira waktu seperti selepas selesai solat fardu, atau pada waktu malam selepas melakukan solat hajat. — Gambar hiasan/Agensi

UMUM mengetahui urusan jodoh adalah rahsia ALLAH SWT dan setiap orang pasti mengimpikan untuk mendapat pasangan yang baik serta tepat dalam kehidupannya.

Bagi mendapatkan pasangan yang terbaik, pelbagai usaha akan dilakukan oleh individu itu dan antara senjata utama bagi setiap Muslim ialah memohon doa kepada yang Maha Esa.

Malah, ada juga yang berkongsi amalan doa tertentu untuk mendapatkan pasangan hidup yang sesuai seperti doa Nabi Musa dan Nabi Yusof.

Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, melakukan amalan doa tertentu untuk mendapatkan jodoh yang baik sangat digalakkan namun perlu difahami maksudnya.

Menurut Mohamad Sabri, penggunaan Bahasa Arab ataupun Bahasa Melayu sekalipun, kepentingan untuk memahami maksud doa yang dipohon itu amat penting supaya lebih ikhlas inginkan seseorang itu.

“Kalau kita doa mohon kepada ALLAH SWT boleh saja. Apa-apa doa yang baik sama ada bahasa Melayu pun boleh. Kalau nak guna Bahasa Arab dari Al-Quran atau hadis, kita perlu fahami semua maksud dia.

“Bayangkan jika baca mantera yang kita tak fahami dan kemudian mungkin bawa maksud yang sebaliknya. Boleh bawa kepada kekufuran dan khurafat.

“Selagi diredai boleh. Boleh saja amal doa Nabi Yusof dan doa Nabi Musa. Jika ulama pun kalau dia baca untuk kita boleh diamalkan selagi tak bertentangan dengan maksud syariat.

“Kalau kita nak seseorang itu untuk jadi pasangan kita. Doa untuk keikhlasan, jangan sampai nak zalimi atau nak memperdagangkan orang,” katanya kepada Majoriti.

sabri

Mohamad Sabri berkata, melakukan amalan doa tertentu untuk mendapatkan jodoh yang baik sangat digalakkan. —Agensi

Dalam pada itu, Mufti Terengganu itu juga memberi petua dan pesanan bagaimana untuk memohon doa kepada ALLAH bagi mendapatkan pasangan hidup yang sesuai.

Berdoa kepada ALLAH boleh dilakukan tanpa mengira waktu seperti selepas selesai solat fardu, atau pada waktu malam selepas melakukan solat hajat.

Bagaimanapun, Mohamad Sabri memesan sepotong ayat ‘sekiranya dia baik untuk aku’ jangan lekang di bibir semasa memohon doa untuk mendapatkan jodoh.

“Kita boleh berdoa lepas solat. Tapi kita kena meletakkan ‘sekiranya dia baik untukku’. Tapi sekiranya kita tak dapat, maknanya orang Itu tak baik untuk kita. Dia baik untuk orang lain tapi nak sesuai dengan kita.

“Begitu juga kalau solat hajat, dalam sujud tu hati kita doa tapi kena letak ‘sekiranya dia baik untuk aku’.

“Sebab kadang-kadang orang ini baik tapi mungkin tak sesuai dengan kita. Mungkin cara fikir berbeza dengan kita sampai timbul pergaduhan. Kita bukan hanya lihat rupa paras. kena tengok kesesuaian. Kadang kita nak ini nafsu kita tapi bila berkahwin setahun bercerai sebab tak sesuai,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram