Dua wanita beri alasan ‘main game’ ketika dicekup berkhalwat bersama 3 lelaki di Pulau Perhentian


  • 112
  • Sabtu, 27 Ogos 2022

Dua wanita ditahan ketika berada di dalam sebuah bilik bersama tiga lelaki bukan mahram pada Ops Perhentian, pada Jumaat malam. — JHEAT

DEMI mengelak dicekup pegawai pejabat agama dalam Ops Perhentian, dua orang wanita memberi alasan hanya menumpang sekejap di bilik rakan lelaki untuk bermain ‘game'.

Operasi dijalankan di sebuah hotel di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu pada malam Jumaat.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Md Adnan Abdullah berkata, dalam serbuan pada pukul 1.50 pagi itu, dua wanita berkenaan berada dalam sebuah bilik bersama tiga lelaki.

“Berdasarkan siasatan awal, mereka mendakwa datang bercuti ke pulau dengan menyewa dua bilik berasingan namun ketika serbuan dilakukan, dua wanita itu berada dalam bilik lelaki bukan mahram dengan alasan bermain ‘game’,” katanya pada Sabtu.

Menurut Md Adnan, dua wanita dan tiga lelaki itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu kerana disyaki berkhalwat.

Sementara itu beliau berkata, dalam operasi sama pihaknya turut menahan lima lelaki beragama Islam selepas dikesan sedang berpesta meminum arak di tepi pantai pulau peranginan itu kira-kira pukul 10 malam.

Katanya, beberapa botol arak turut dirampas dan semua mereka ditahan di bawah Seksyen 23(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana minuman memabukkan.

“Semua yang ditahan berusia dalam lingkungan antara 20 hingga 30 tahun dan mereka merupakan pelancong yang datang dari luar Terengganu,” katanya

Jelas Md Adnan, operasi tersebut disertai 40 pegawai dan penguatkuasa syariah JHEAT dengan tumpuan pemeriksaan dilakukan di sekitar rumah penginapan serta resort di Pulau Perhentian.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membasmi kegiatan minum arak dalam kalangan umat Islam serta perlakuan jenayah syariah lain termasuk khalwat.

“Jadi kita harap orang ramai menjauhi perkara bertentangan dengan hukum syarak dan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan,” katanya.— Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram