Wanita pakai ihram lelaki, agensi boleh dikenakan tindakan — Idris


  • Primer
  • Jumaat, 12 Ogos 2022

Idris berkata, isu itu membabitkan hukum agama dan tindakan tegas perlu dikenakan kepada individu terbabit.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad meminta kerjasama dua kementerian untuk mengambil tindakan terhadap wanita berperwatakan lelaki lengkap berpakaian ihram seperti jemaah lelaki dan menunaikan umrah di Mekah.

Beliau menerusi satu hantaran di Facebook berkata, dia sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac).

"Pihak saya telah menghubungi KDN. Saya memohon kementerian itu untuk membuat siasatan lanjut setibanya individu tersebut di Malaysia nanti.

"Saya juga telah menghubungi pihak Motac untuk memastikan jika perkara ini benar, tindakan tegas juga akan dikenakan kepada agensi yang menguruskan individu tersebut," katanya.

Idris berkata, isu itu membabitkan hukum agama dan tindakan tegas perlu dikenakan kepada individu terbabit.

"Saya mengambil berat perkara yang telah ditular dakwaan yang melaporkan seorang yang wanita yang mengerjakan umrah, namun berpakaian ihram lelaki," katanya.

Terdahulu tular di Twitter beberapa hantaran mengenai wanita berkenaan susulan videonya berada di Mekah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah lelaki.

Dalam satu hantaran video menunjukkan wanita terbabit menuju ke Raudhah dan pada masa sama seorang pengguna Twitter mengesahkan individu berkenaan adalah wanita dan bekas pekerjanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram