Motac sedia siasat isu badal haji murah


  • Massa
  • Khamis, 23 Jun 2022

Motac akan membuat siasatan dan pengesahan lanjut sekiranya terdapat aduan rasmi berhubung isu badal haji murah. — Agensi

SUSULAN isu kos badal haji serendah RM1,500, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang aduan daripada Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut Motac, sekiranya terdapat aduan rasmi berhubung perkara tersebut, pihaknya akan membuat siasatan dan pengesahan lanjut.

"Tindakan boleh diambil sekiranya melibatkan syarikat pengendali pelancongan yang berlesen dengan Motac serta aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan Akta Industri Pelancongan 1992," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, menurut sumber dalaman TH, agensi tersebut bukanlah pihak berkuasa yang bertanggungjawab memantau operasi badal haji.

Sebaliknya, sumber itu berkata, TH hanya berperanan untuk menguruskan jemaah haji.

"Kes penipuan badal haji kena report (buat laporan) polis.

"TH pada setiap tahun akan keluar notis atau kenyataan media agar orang ramai berhati-hati dengan penipuan badal haji," kata sumber tersebut.

Terdahulu, Majoriti melaporkan, penawaran khidmat badal haji dengan bayaran serendah RM1,500 yang diiklankan di media sosial khususnya Facebook menimbulkan keraguan.

Tinjauan di Facebook mendapati, terdapat beberapa agensi pelancongan umrah dan haji yang menawarkan khidmat badal haji antara harga RM1,500 hingga RM3,500 yang disifatkan tidak masuk akal.

Dalam pada itu, Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik tawaran pakej badal haji, terutama yang tidak menyatakan secara jelas siapa pelaksananya.

Memetik laporan Bernama, beliau berkata, lambakan yang mempromosikan pakej badal haji pada harga tidak munasabah perlu diberi perhatian serius kerana ia seolah-olah tindakan sengaja mengaut keuntungan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram