Sifat pendendam jadikan jiwa keras dan kotor


  • Mukmin
  • Jumaat, 05 Ogos 2022

Sifat terlalu kuat berdendam dan berdengki dengan orang lain menjadikan jiwa seseorang keras dan kotor.

UMAT Islam digalakkan untuk tidak menyimpan perasaan dendam sekiranya berhadapan dengan perselisihan faham dengan mana-mana individu lain.

Sebaliknya, mereka disarankan untuk memperbaiki atau menyelesaikan masalah tersebut dengan cara baik.

Hal ini dikhuathiri dendam tersebut bukan sahaja akan memudaratkan orang lain, malah turut akan memberi tulah kepada diri sendiri.

Sebagai contoh, seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang remaja lelaki dengan membakarnya pada bulan lalu.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada Muhammad Fiqrie Adam Abdullah, 15, menggunakan api.

Mangsa dilapor melecur pada bahagian leher hingga ke bahagian belakang badan, dipercayai dibakar beberapa rakannya yang dipercayai berdendam dan menuduh mangsa mencuri wang RM100.

Kesalahan itu dilakukan pada 22 Julai lalu pada pukul 3 pagi, di Simpang Empat Kampung Perasing Jaya, Jabor, Kemaman, Terengganu.

WhatsApp Image 2022-08-04 at 10.29.02 PM

Penganggur (kiri) didakwa membakar seorang remaja lelaki, dipercayai setelah menuduh mangsa mencuri wang RM100 pada bulan lalu. — Astro Awani

Berdasarkan kes tersebut, Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi laman Telegram berkata, salah satu sifat ahli syurga sepertimana yang disebutkan oleh ALLAH SWT di dalam al-Quran adalah ALLAH telah menghilangkan sifat hasad dan dendam di dalam hati mereka.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) berkata, sifat itu dihilangkan sehingga jiwa mereka menjadi bersih dan bersih.

Firman Allah SWT: "Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing." — ayat 43, Surah al-A’raf

Ahmad Sanusi berkata, individu yang bercita-cita mahu ke syurga perlu berazam untuk membuang sifat hasad dan dendam di dalam hati mereka.

Katanya, kesombongan jiwa menerusi dendam itu seterusnya menghalang mereka untuk ke syurga.

Sabda Rasulullah SAW: "Tidak masuk ke syurga mereka yang ada di dalam hatinya walau sebesar zarah sifat sombong." — Hadis Riwayat Muslim

Tambah Ahmad Sanusi, sifat terlalu kuat berdendam dan berdengki dengan orang lain menjadikan jiwa seseorang keras dan kotor.

Oleh itu, katanya, jiwa yang kotor akan memakan amalan-amalan kebaikan seseorang.

"Justeru, sucikan hati dengan melatih hati memaafkan manusia. Perkukuhkan jiwa dengan membaca al-Quran dan mengingati ALLAH melalui zikir dan solat," katanya.

Sabda Rasulullah SAW: "Jauhkan diri kamu dari hasad kerana sesungguhnya hasad itu akan memakan amalan kebaikan seperti mana api yang membakar kayu." — Hadis Riwayat Abu DaudMajoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram