IBARAT dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, dengan hanya menggunakan komputer, pelbagai perkara boleh dilakukan tanpa kekangan masa dan lokasi.
Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan capaian dan penggunaan Internet oleh individu dan isi rumah meningkat kepada 95.5 peratus pada 2021 berbanding 91.7 peratus pada 2020.
Pada 2021, capaian oleh isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer juga masing-masing meningkat kepada 99.6 peratus dan 88.3 peratus.Peningkatan yang berlaku secara mendadak ini menimbulkan persoalan sejauh manakah kita dilindungi semasa menggunakan komputer?
Komputer boleh dikategorikan sebagai peranti yang mempertaruhkan keselamatan peribadi. Pada hakikatnya, dalam kerancakan warganet yang semakin candu untuk terus berkomunikasi dalam arena digital, warganet sendiri telah membuka ruang dan peluang mendedahkan privasi data sendiri.
Lihatlah sewaktu penggunaan media sosial maklumat peribadi seperti umur, lokasi, jantina dan sebagainya dikongsi sewenang-wenangnya. Warganet sendiri tahu bahawa pendedahan maklumat sebegini boleh mengancam keselamatan diri kepada individu yang ingin mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan atau lebih dikenali sebagai scammer.
Scammer dengan mudah mendapat maklumat peribadi warganet dengan adanya pendedahan maklumat peribadi yang dimuat naik di media sosial oleh warganet itu sendiri.
Statistik Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merekodkan sejak tahun 2017 sehingga 20 Jun 2021 sebanyak 67 552 kes penipuan dalam talian telah dilaporkan antaranya pencurian data peribadi dan pemalsuan identiti hingga menyebabkan kerugian bernilai RM2.23 bilion.
Jenayah ugutan juga turut mengancam keselamatan warganet. Hanya berpandukan maklumat peribadi seperti gambar yang dimuat naik, scammer akan mengedit gambar tersebut dengan menggunakan aplikasi seperti photoshop, lightroom, dan pelbagai aplikasi lain sehingga gambar tersebut berunsurkan pronografi. Seterusnya menggunakan kesempatan tersebut untuk mengugut dan memalukan individu tersebut. Hal ini menunjukkan semakin canggih sesuatu teknologi, semakin terancam privasi seseorang individu.
Indeks Keselamatan Unisys pada tahun 2018 membuktikan bahawa tahap kebimbangan keselamatan data bagi rakyat Malaysia mencatatkan nilai sebanyak 86 peratus, iaitu di kedudukan ketiga daripada 13 buah negara.
Hal ini membuktikan bahawa tahap keselamatan data di Malaysia masih belum kukuh dan seterusnya menimbulkan kebimbangan rakyat terhadap tahap keselamatan data mereka sendiri.
Ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah memberikan impak yang besar kepada masyarakat Malaysia kerana terpaksa bergantung kepada media sosial untuk mendapat maklumat terkini asbab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Kesempatan ini diambil oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita palsu berkenaan Proklamasi Darurat, kes Covid-19, suntikan vaksin, pautan palsu berkaitan pengeluaran KWSP yang tersebar luas di media sosial seperti di aplikasi Facebook, WhatsApp, Telegram dan Twitter. Lambakan penyebaran maklumat tidak sahih ini menjejaskan kewibawaan pihak berkuasa dalam menangani isu Covid-19.
Perbuatan buli siber turut wujud natijah daripada sikap warganet yang gemar melontarkan komen yang berbaur kebencian dan berunsur lucah terhadap video, imej atau perkongsian di laman media sosial warganet yang lain. Ini menimbulkan masalah gangguan mental hingga mendorong kepada kejadian bunuh diri.
Dengan hanya menulis komen-komen negatif, insiden Hana Kimura, iaitu seorang ahli gusti di Jepun yang membunuh dirinya akibat menjadi mangsa buli di media sosial seharusnya diberikan perhatian serius. Hal ini demikian kerana perbuatan ini memberikan kesan buruk kepada emosi, fizikal dan mental mangsa buli siber.
Rentetan senario di atas, seharusnya lebih kerap dilakukan pemantauan dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu perlu dilakukan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tanpa mengira status dan bangsa tindakan tegas perlu dikenakan kepada semua yang terlibat dalam menyampaikan dan menyebarkan berita palsu ini.
Di samping itu, setiap warganet seharusnya cakna dan berhati-hati semasa menggunakan komputer,khususnya semasa melayari internet. Seharusnya setiap warganet berpegang kepada prinsip bahawa internet bukanlah tempat yang selamat untuk berasa selesa.
Justeru, apa-apa maklumat yang ingin dikongsi dengan warganet yang lain haruslah ditapis sebaik mungkin bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini. Segala penyalahgunaan data peribadi mampu di atasi jika setiap warganet bijak menggunakan teknologi.
Sifat tabayyun perlu diserapkan dalam diri setiap warganet kesan daripada limpahan maklumat dariada pelbagai sumber seperti aplikasi WhatsApp, Facebook dan sebagainya. Hal ni demikian kerana tanpa adanya sifat tabayyun, maklumat yang diperoleh tanpa usul periksa akan kebenaran dan kepastiannya, pasti akan mengundang kepada permusuhan dan perselisihan.
Jelaslah bahawa keselamatan warganet dalam melayari Internet terletak sepenuhnya dalam diri mereka sendiri.Jadilah warganet yang bijak dan matang menggunakan media sosial untuk kebaikan dan bukannya menyalahgunakannya. Ibarat kata bidalan sudah terhantuk baru tengadah. — Majoriti
Dr. Azean Idruwani Idrus,Pensyarah Kanan, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram