'Beli makanan lebih untuk sedekah, bukan tak habis baru bagi'


  • Mukmin
  • Ahad, 01 Mei 2022

Aktivis mengedarkan makanan kepada golongan gelandangan.

KETIKA bulan Syawal yang bakal tiba tidak beberapa hari sahaja lagi, orang ramai disarankan untuk mengejar pahala pada saat-saat akhir bulan Ramadan.

Tambahan pula, dikatakan pahala seseorang akan dilipatgandakan ketika berpuasa pada bulan Ramadan.

Kita juga umum mengetahui bahawa amalan bersedekah merupakan perkara yang dituntut, yang bukan sahaja memberi kebaikan kepada penerimanya malah pemberinya juga dijanjikan ganjaran oleh ALLAH SWT.

Ini termasuk memberi sedekah atau memberi makan kepada golongan yang lapar ketika berpuasa.

Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus berkata, apabila kita memberi makan dengan rezeki yang mereka ada kepada individu yang berpuasa, maka kita memperolehi pahala orang yang berpuasa tersebut.

"Kata kebanyakan ulama, sekurang-kurangnya satu benda (makanan) yang dianggap masuk ke dalam mulut manusia. Jadi biasanya dengan satu suap.

"Sebab banyak hadis yang menyebut, walaupun benda tu kecil ia dikira sedekah," menerusi perkongsian video di laman TikTok.

Tambahnya, ada hadis nabi yang bersabda bahawa seseorang perlu melindungi diri sendiri daripada neraka walaupun dengan sebelah bahagian buah tamar.

Ini bermakna, katanya, seseorang boleh bersedekah dengan hanya sebelah bahagian tamar sekiranya tidak mampu memberi sebiji buah tersebut kepada orang lain.

"Kalau kita sedekah, kita lepas dari neraka kalau ALLAH terima.

"Dan ada banyak hadis yang menyebut, sesiapa yang bersedekah dan beri orang makan, maka pahalanya dicatat mengikut suapan.

"Kalau boleh tahun ni kita beli (makanan) lebih dan beri kepada orang lain. Jangan tak habis makanan tu baru beri orang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sedekah, makanan, buah tamar, pahala, Ramadan, puasa