Memburu malam ganjil di 10 terakhir Ramadan, tujuh amalan ini mampu lipatganda pahala Lailatul Qadar


  • Mukmin
  • Jumaat, 22 Apr 2022

Berzikir merupakan antara amalan yang boleh dilakukan pada malam Lailatul Qadar.

SEDAR ataupun tidak bulan Ramadan hampir sampai ke penghujungnya, dan malam yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam untuk mengumpulkan pahala sebanyak mungkin pun tiba untuk iaitu malam Lailatur Qadar.

Sekiranya seseorang itu tidak berkesempatan untuk mengumpul pahala semasa awal Ramadan, pada malam 10 hari terakhir inilah perlu dimanfaatkan dengan melipatgandakan amalan kepada Allah sebagaimana Rasulullah SAW dan salaf as-soleh beribadat:

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya yang bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya)," —[Riwayat Muslim: 2015]

Menurut Felo Institusi Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISSI) yang juga pendakwah bebas, Ustaz Abd Rahman Tajudin berkata, antara kemuliaan malam lailatul qadar apabila turunnya wahyu pertama kitab suci umat Islam Al-Quran ketika Rasulullah SAW di Gua Hira.

Di dalam surah Al-Baqarah ayat 185, Allah SWT berfirman: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan -keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

"Selain itu, kemulian lailatul qadar juga adalah menyebabkan ia malam yang lebih baik daripada 1000 bulan iaitu bersamaan hampir 83 tahun,” katanya kepada Majoriti.

Apa yang dimaksudkan dengan membawa malam lebih baik ialah sebagai contoh apabila seseorang itu bertarawih pada 10 malam terakhir Ramadan dan malam tersebut adalah Lailatulqadar, ia seumpama solat Tarawih selama 83 tahun tanpa henti pahala yang bakal diperolehi.

Perkata itu turut dibuktikan ayat satu hingga tiga dalam Surah al-Qadr, ALLAH menyebut Lailatulqadar sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu bersamaan lebih kurang 83 tahun

“Macam mana nak tahu itu adalah malam Lailatul Qadar? Lailatur Qadar seringnya jatuh pada 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan

“Pada malam itu bolehlah lakukan sebanyak mungkin amalan yang boleh membantu lipat-gandakan pahala," tambahnya.

Menurut Rahman, sebanyak tujuh amalan yang boleh dilakukan oleh seseorang umat Islam ketika malam Lailatur Qadar iaitu solat Tarawih, membaca Al-Quran, berzikir, solat Qiamullail, solat Hajat, melakukan sedekah dan berdoa kepada ALLAH SWT.

Tambahnya, antara surah spesifik yang boleh dibaca oleh umat Islam ialah Surah Yasin, Dukhan, Sajadah, Al-mulk, dan Surah Waqiah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram