Al-Quran jadi pengukur sama ada disambut ALLAH ketika Ramadan


  • Mukmin
  • Selasa, 19 Apr 2022

Nuzul al-Quran disambut oleh umat Islam pada Ramadan dan mereka digalakkan untuk mengamalkan bacaan al-Quran pada bulan tersebut. — Gambar hiasan

UMAT Islam selain diwajibkan berpuasa pada Ramadan, ALLAH SWT juga memilih bulan mulia tersebut untuk berlakunya peristiwa besar iaitu turunnya kitab suci al-Quran atau dikenali sebagai Nuzul al-Quran.

Peristiwa Nuzul al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya secara berperingkat-peringkat menjadi lengkap, sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.

Peristiwa tersebut berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 ketika keputeraan Nabi Muhammad SAW dan Baginda SAW ketika itu sedang beribadat di Gua Hira.

Perkataan 'Nuzul' bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Apabila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW, maka ia memberi makna terlalu besar kepada umat Islam, terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Ayat al-Quran terawal yang diturunkan ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Pada masa sama, umat Islam digalakkan untuk mengamalkan bacaan al-Quran terutamanya pada Ramadan.

Apatah lagi, setiap kebaikan termasuk membaca al-Quran akan dilipatgandakan pada bulan tersebut.

Tampil mengulas mengenai amalan membaca al-Quran pada Ramadan, Mohamad Wadi Annuar Ayub menegaskan bahawa al-Quran menjadi kayu pengukur seseorang sama ada disambut ALLAH SWT dalam bulan itu.

"Ulama kata, lihat bagaimana al-Quran hidup dalam bulan Ramadan, di dalam rumah kamu, di dalam kehidupan kamu.

"Setakat mana al-Quran hidup dalam kehidupan kamu dalam bulan Ramadan, itu menjadi kayu ukur utama ALLAH sambut kamu ataupun tidak dalam bulan Ramadan.

"Kerana kata para ulama, Ramadan ialah ulang tahun turunnya al-Quran," katanya menerusi perkongsian di laman TikTok.

Pada tahun ini, Nuzul al-Quran jatuh pada 17 Ramadan 1443H bersamaan 18 April apabila masuknya waktu Maghrib. Sehubungan itu, sama-samalah kita mengimarahkan amalan murni dengan membaca kita suci ini di bulan Ramadan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram