Boleh ke tak tidur lepas sahur dan apa hukumnya?


  • Mukmin
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Tidur selepas sahur tidak digalakkan kerana dikhuatiri akan terlewat solat Subuh akibat terlalu lena. — Agensi

TIDUR selepas sahur bukanlah sesuatu perkara yang tabu. Hampir semua orang melakukannya, apa lagi di awal puasa saat tubuh belum terbiasa bangun lebih pagi untuk sahur.

Sementara masih ada waktu sebelum mula beraktiviti, sebahagian orang memilih untuk memanfaatkan masa dengan tidur sejenak.

Namun, bagaimana hukum dalam Islam tentang kebiasaan tidur setelah sahur?

Dijelaskan bahawa tidur selepas sahur tidak dilarang dalam Islam. Namun begitu, jangan sampai aktiviti tersebut mengakibatkan anda terlewat mengerjakan solat subuh.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa tiada larangan untuk tidur selepas sahur namun tidak digalakkan kerana dikhuatiri akan terlewat solat subuh akibat tidur terlalu nyenyak.

"Adalah lebih baik untuk tidak tidur lepas sahur berdasarkan hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan menghidupkan waktu selepas subuh," kata jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada Majoriti pada Khamis.

Situasi sama juga berlaku kalau mahu tidur setelah solat subuh pada bulan Ramadan kerana memang tidak ada larangan selagi tidur itu tidak mengurangkan produktiviti seseorang.

6-Keutamaan-Dan-Manfaat-Wudhu-Bagi-Muslim

Berwuduk akan membantu memberikan semula kesegaran semasa menjalani ibadah puasa. — Facebook

Dari sudut kesihatan, tidur setelah sahur sebenarnya juga tidak digalakkan kerana mengganggu pengeluaran horman kortisol yang berfungsi sebagai hormon kecergasan bagi seseorang.

Pengamal perubatan, Dr Zubaidi Ahmad berkata, pola kehidupan sedemikian akan mengganggu pusingan biologi di dalam badan dan hal itu hanya akan menambahkan keletihan seseorang.

"Apabila seseorang bangun daripada tidur setiap pagi pada pukul lima pagi untuk bersahur, rutin ini akan merangsang pengeluaran hormon kortisol pada pukul tiga atau empat pagi dan akan memuncak pada pukul 11 pagi.

"Apabila rutin ini ditukarkan secara tiba-tiba, dengan tidur semula selepas subuh, pengeluaran hormon ini akan terganggu dan kita keletihan sepanjang hari berpuasa," katanya di Facebook.

Katanya, jika mahu tidur sebentar, dicadangkan masa yang sesuai antara 30 minit sebelum Zuhur dengan mengambil masa antara 10 hingga 15 minit saja.

"Selepas berwuduk dan solat Zuhur, Insya-ALLAH kita akan berasa segar walaupun berpuasa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram