Suami nak poligami? Peguam ini nyatakan bila isteri pertama patut tuntut harta sepencarian


  • Mukmin
  • Sabtu, 09 Apr 2022

ADAKALANYA seorang isteri  yang terpaksa berpoligami tidak berpuas hati dan mahu menuntut harta sepencarian. — Gambar hiasan

AMALAN poligami atau seorang lelaki berkahwin lebih daripada seorang wanita bukan perkara asing lagi di negara ini.

Bagaimanapun ia sebenarnya perlu dilihat daripada sudut tanggungjawab bukan nafsu semata-mata, malahan setiap lelaki perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya mahu memulakan hidup berpoligami.

Hal ini kerana ia mungkin akan menimbulkan perasaan tidak puas hati dan perbalahan sehingga menyebabkan kesengsaraan dalam institusi keluarga.

Tambahan pula, setiap lelaki perlu memahami urusan poligami sebaik mungkin dan bukan sekadar ingin beristeri lebih daripada satu, kerana perlu diingat ada ketikanya ia boleh meninggalkan sengsara kepada mana-mana isteri.

Namun, adakalanya seorang isteri yang terpaksa berpoligami tidak berpuas hati dan mahu menuntut harta sepencarian.

Peguam Syarie Nurain berkata, isteri dibenarkan menuntut harta sepencarian sebelum suaminya bernikah dengan wanita lain.

Katanya, hal ini kerana harta sepencarian boleh dituntut selepas bercerai ataupun pada bila-bila masa semasa di dalam ikatan perkahwinan.

"Elok jika menuntut harta sepencarian sebelum suami berkahwin lagi agar isteri boleh mendapatkan hak dan bahagiannya dengan jelas terlebih dahulu," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Pada masa sama, katanya, isteri akan tetap berhak mendapat harta sepencarian mengikut tarikh dia mengambil hak-haknya sehinggalah ke akhir hayatnya atau sekiranya dia bercerai dengan suaminya.

Dalam pembahagian harta sepencarian bagi isteri-isteri dalam keluarga poligami, perkiraan secara teliti adalah mengikut tempoh perkahwinan masing-masing selain sumbangan secara langsung atau tidak langsung yang dibuat oleh isteri terhadap pengumpulan harta suami.

"Begitu juga, oleh kerana isteri berhak terhadap harta sepencarian, maka suami tidak sepatutnya memberikan mana-mana asetnya kepada salah seorang isteri tanpa persetujuan isteri yang lain," katanya.

Menurut Jabatan Bantuan Guaman (JBG), harta sepencarian adalah suatu harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Harta itu juga termasuklah harta yang diperoleh sebelum mereka berkahwin tetapi telah dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan hasil usaha bersama atau sumbangan bersama mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram