Pengambilan ubat lewatkan haid sebab nak puasa penuh hukumnya harus - Ustaz Azhar Idrus


  • Mukmin
  • Khamis, 14 Apr 2022

Ubat tangguh haid diharuskan dalam Islam ketika bulan Ramadan selagi tidak memudaratkan kesihatan. — Gambar hiasan

UMUM mengetahui bahawa kaum wanita diharamkan berpuasa ketika datang bulan atau mengalami haid.

Ini menjadikan seseorang itu perlu mengganti ibadah puasa yang ditinggalkan selepas tamatnya bulan Ramadan.

Namun, tahukah anda terdapat ubat hormon yang berupaya menahan seseorang daripada datang bulan?

Difahamkan, ada antara wanita Muslim yang menggunakan ubat tersebut dengan tujuan untuk menangguhkan seseorang daripada datang bulan pada bulan Ramadan selain berniat untuk berpuasa penuh.

Tampil mengulas perkara itu, Ustaz Azhar Idrus berkata, hukum seseorang wanita makan ubat hormon itu dengan niat supaya dapat berpuasa penuh adalah harus.

Namun, pendakwah bebas itu berkata, ia dibenarkan selagi tidak memudaratkan kesihatan.

Pada masa sama, beliau berkata, tindakan lebih baik adalah dengan tidak makan ubat tersebut yang mana seseorang perlu berpuasa ketika suci dan berhenti apabila datang bulan.

"Itulah yang dilalui oleh ibu-ibu kita, sahabat perempuan zaman dahulu.

"Kalau nak ambil inisiatif ini juga ulama membenarkan, tapi dengan syarat ubat jangan diambil sesuka hati yang boleh memudaratkan nyawa, kesihatan dan sebagainya," katanya menerusi perkongsian video di laman TikTok.

Menjawab persoalan lain, Ustaz Azhar Idrus berkata, hukum memakai minyak wangi ketika berpuasa pula adalah sunat.

Namun, perkara yang menjadikan makruh buat seseorang ketika berpuasa adalah suka menghidu minyak wangi.

"Pakai (minyak wangi) pada tubuh, wangi pada bulan puasa itu sunat," katanya menerusi perkongsian video dalam aplikasi sama.

Beliau turut menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa seseorang yang berpuasa tidak boleh memakai minyak wangi, tidak boleh menelan air liur dan tidak boleh mandi.

"Yang silapnya juga masalah gonyoh (berus) gigi. Imam Nawawi kata lepas Zohor hukumnya harus," tambahnya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi,"Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sesungguhnya Islam adalah agama yang memudahkan umatnya bukan membiarkan mereka berdepan kesukaran dalam menjalankan ibadah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram