SELEPAS terpegun mendengar seruan azan ketika lawatannya ke Turki, seorang wanita Ukraine memutuskan untuk memeluk Islam ketika bulan Ramadan.
Ketika Daria Yaroshenko sedang menikmati makanan di sebuah restoran di daerah Iznik bersama suaminya, dia mendengar azan dari Gereja Hagia Sophia, yang juga dikenali sebagai Masjid Orhan.
Yaroshenko yang terpesona dengan alunan azan itu kemudian pergi ke masjid bersama suaminya dan bertemu seorang bilal dikenali Osman Çakmak, yang bertanggungjawab melaungkan azan.
Selain menyuarakan hajat untuk memeluk Islam selepas dia mendengar azan, Yaroshenko berkata, dia sangat mengagumi suara bilal tersebut.
"Saya rasa berdebar. Saya meneliti al-Quran di Internet dan kemudian saya memutuskan untuk menjadi seorang Muslim," katanya.
Wanita Ukraine itu kini tinggal di bandar laut Yalova dan menukar namanya kepada Derya selepas dia memeluk Islam.
Menyedari bahawa dia sangat terkesan dengan perang yang berterusan di Ukraine, Yaroshenko berkata, dia sangat bimbang akan nasib saudara-maranya.
Tambahnya, dia akan kembali ke tanah airnya apabila perang tersebut berakhir.
Perang Rusia-Ukraine yang bermula pada 24 Februari lalu telah menimbulkan ketegangan dunia, apabila kuasa besar seperti Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) telah melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.
Sementara itu, mufti Iznik Üzeyir Yavaş berkata, Yaroshenko menghubungi mereka selepas terpegun dengan laungan azan.
"Kami sangat gembira kerana momen indah ini berlaku pada bulan suci Ramadan.
"Kami mengucapkan tahniah kepada saudari, suami dan bilal yang melaungkan azan. Bacaan doa yang baik boleh membawa kepada peristiwa yang begitu indah," katanya sambil menambah bahawa mereka juga menghadiahi Yaroshenko senaskah al-Quran. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram