HANYA kerana gagal menyediakan juadah sahur, seorang lelaki, Taofeek Gbolagade tergamak memukul isterinya yang sarat mengandung dalam kejadian di Ibadan, Nigeria pada Selasa lalu.
Menurut maklumat daripada jiran mereka, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 pagi di kediaman mereka.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, suspek sering memukul isterinya setiap kali berlaku pertelingkahan antara mereka berdua.
"Saya dapat merakam kejadian tersebut dan mereka berdua beragama Islam, jadi saya rasa mereka bertengkar akibat sahur.
"Lelaki itu sedikit pun tidak peduli bahawa isterinya sedang mengandung anak kedua dan terus memukul walaupun isterinya sudah menangis ketakutan ketika itu.
"Hanya selepas beberapa jam, barulah wanita itu dapat lari ke rumah orang tuanya manakala suspek pula melarikan diri selepas menyedari yang dirinya dikehendaki pihak berkuasa," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Polis Negeri, Adewale Osifesi berkata, siasatan sedang dilakukan dan usaha untuk memburu suspek juga sedang giat dilakukan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram