Cef Ammar tular lagi, kali ini libat wanita mengandung pula


  • Tular
  • Khamis, 14 Apr 2022

Tangkap layar video yang memaparkan insiden selepas berlakunya kekecohan di kedai cef Ammar.

RAMADAN kali ini bukan kali pertama cef Ammar berniaga nasi beriani 'lamb shank'.

Tetapi tahun ini menyaksikan namanya paling kerap disebut-sebut di media sosial disebabkan kerenah netizen termasuk isu harga yang dianggap terlalu mahal.

Terbaharu, pada Rabu, muncul pula satu video berdurasi 51 saat yang dimuat naik di media sosial Twitter berkaitan dengan kekecohan di gerai milik cef tersebut.

Menerusi video tersebut, gerai cef Ammar didatangi pihak polis bantuan kerana berlaku kekecohan dek kerana terdapat pelanggan yang mengamuk disebabkan cef itu mengutamakan ibu mengandung.

Cef Ammar juga dilihat cuba memberi penerangan kepada pihak polis berkaitan kekecohan yang berlaku.

Apa yang berlaku terhadap cef Ammar mengundang rasa simpati oleh netizen di Twitter.

"Kesian dengan cef Ammar ni. Macam-macam kerenah nak kena hadap. Yang tak boleh beratur lama, yang jenis buat aduan nasi mahal dan kali ini pula jenis tak sabar sehingga tiada empati," kata kroolnizam.

Pengguna Twitter bernama superbdsgn juga menyatakan rasa malu setiap kali berlakunya isu jual beli di kedai cef Ammar.

"Bulan puasa ni. Tak boleh ke mereka ini cuba faham sedikit dengan situasi yang sedang berlaku," katanya.

MuhdBaie juga menyatakan rasa malu dengan sikap segelintir rakyat Malaysia apatah lagi cef Ammar berasal dari Palestin.

"Cef Ammar ni orang Palestin, tapi dia berniaga di sini ada sahaja yang tak kena. Semua dah besar patut guna akal fikiran," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram