TULAR di media sosial rakaman video seorang budak lelaki bernama Muhammad Haziq Irfan yang dikatakan terkena gangguan makhluk halus hingga menyebabkan dia bersikap agresif selain bercakap dalam nada suara berbeza.
Menerusi rakaman yang dikongsikan Gania Shalina di Facebook, remaja tersebut dirakam berjalan seorang diri sambil diekori kedua-dua ibu dan ayahnya dari dalam sebuah kenderaan.
Selepas Muhammad Haziq Irfan menaiki kereta dan duduk di tempat duduk belakang, ibunya menyoal mengapa dia keluar dari rumah, sedangkan dia hanya meminta remaja itu keluar dari bilik kerana mahu mengerjakan solat.
Remaja itu lantas membalas dengan mengatakan dirinya bukan Muhammad Haziq Irfan sebaliknya adalah makhluk lain.
Ibunya terus bertanyakan lagi mengapa 'makhluk' itu mengganggu anaknya lagi-lagi pada bulan Ramadan.
Dalam rakaman video lain, Muhammad Haziq Irfan dikatakan sudah mendapatkan rawatan secara perubatan Islam. Ibunya meminta orang ramai mendoakan kesembuhan remaja itu.
Persoalan wanita berkenaan bagaimanapun mendatangkan kemusykilan kerana umum mengetahui syaitan akan dirantai apabila datangnya bulan Ramadan.
Menurut pengamal perubatan kerohanian, Hazim yang mengusahakan pusat Terapi Al Hazim di Melaka, berdasarkan pendapat ulama sendiri, bukan semua syaitan dirantai dirantai pada bulan puasa.
"Pendapat itu mengatakan yang dirantai hanya ketua-ketua syaitan. Dan yang merasuk seperti dalam video tu biasanya jin," katanya kepada Majoriti.
Muhammad Haziq Irfan dikatakan sudah mendapatkan rawatan secara perubatan Islam. — Facebook
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam terbitan Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadan siri ke-128 memaklumkan bahawa gangguan makhluk halus masih boleh terjadi di dalam bulan Ramadan.
Katanya, syaitan yang diiikat atau dibelenggu adalah syaitan yang besar atau kuat sahaja, manakala selebihnya masih ada.
"Tambahan lagi, apabila syaitan-syaitan ini diikat ia bermaksud mereka tidak bebas menggoda orang-orang yang beriman berbanding bulan-bulan lain.
"Itulah maksud utama apabila kita sebut syaitan diikat sepanjang bulan Ramadan. Sebenarnya gangguan makhluk halus pun masih boleh terjadi di bulan Ramadan.
"Terdapat juga terjemahan lain tentang maksud syaitan diikat, iaitu para syaitan tidak dapat memberi godaan kepada umat Islam seperti bulan-bulan lain kerana umat Islam itu sendiri yang sibuk dengan ibadah berpuasa yang berperanan melemahkan nafsu," jelas artikel itu.
Menurutnya, gangguan atau godaan syaitan boleh dielakkan dengan memperbanyakkan ibadah dalam bulan Ramadan seperti membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain ibadah.
"Dalam masa sama, mereka yang berhadapan dengan individu yang mengalami gangguan sebegini dicadang merujuk pakar perubatan kerana kemungkinan ia berkait rapat dengan masalah psikiatri dan bukannya gangguan makhluk halus semata-mata," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram