WANITA hamil dan ibu yang menyusukan anak merupakan antara golongan yang diberikan keringanan oleh ALLAH SWT untuk tidak berpuasa kerana bimbang sekiranya mereka berpuasa akan memudaratkan kesihatan diri dan bayi.
Namun menjelang bulan Ramadan, tidak dapat dinafikan masih ramai juga yang ingin mencuba untuk berpuasa semasa mengandung meskipun sudah diberikan keringanan oleh agama.
Mengulas isu itu, menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Norshida Brahim, dari segi kesihatan tiada halangan untuk wanita mengandung berpuasa kecuali bagi mereka yang ada masalah kesihatan yang berat.
Menurutnya, jika kelompok ibu mengandung yang mempunyai sakit seperti kencing manis dan darah tinggi, mereka memerlukan rawatan yang banyak seperti pengambilan insulin serta ubat-ubatan.
"Contohnya untuk orang yang kencing manis akan mengambil insulin yang mana memerlukan suntikan tiga ke empat kali sehari. Kalau yang darah tinggi pun begitu, dia perlukan ubat satu hari sebanyak tiga kali.
"Jadi kumpulan ibu mengandung ini memang saya nasihatkan untuk tidak berpuasa," kata menerusi sesi soal jawab di laman Instagram bersama Dr. Malar Santhi Santherasegapan.
Norshida berkata, jika pesakit itu masih bertegas untuk berpuasa, perbincangan bersama doktor adalah diperlukan untuk mengetahui cara terbaik yang boleh dilakukan oleh ibu mengandung itu untuk menjaga kesihatan.
"Mungkin ada cara kalau kencing manis dan darah tinggi itu untuk berpuasa dengan baik. Ubat itu kita boleh makan ketika waktu berbuka dan sahur.
"Kami pernah kendali kes seperti ini. Tapi kena datang treatment, mesti buat follow up yang kita bagi. Sentiasa ada cara untuk anda puasa di bulan Ramadan," katanya.
Jika di peringkat awal kehamilan (trimester pertama) adalah dianjurkan berpuasa kerana ketika fasa tersebut ibu mengandung tidak mempunyai alahan teruk yang boleh menghalang menunaikan Rukun Islam ketiga itu.
Fasa kehamilan
Menurutnya, berpuasa ketika trimester pertama digalakkan namun perlu bersahur dan berbuka dengan pemilihan makanan yang betul.
"Saya selalu nasihat pesakit, kalau nak puasa pastikan kesihatan baik dan kena sahur. Kalau tidak sahur, ia akan susahkan mereka.
"Bila berbuka, jangan dengan air gas. Pemilihan makanan semasa sahur dan berbuka sangat penting untuk kekalkan tenaga berpuasa.
"Saya rasa paling mencabar adalah ketika trimester ketiga. Pada waktu ini saya akan cakap dengan pesakit untuk tengok badan mereka. Kalau rasa larat, jaga tumbesaran bayi. Kalau semua okay tiada masalah, air ketuban okay, ibu pun sihat. Maka berpuasalah," jelasnya.
Dalam pada itu, Norshida berkata, untuk mengetahui ibu mengandung itu tidak larat untuk berpuasa adalah ketika paras gula rendah yang mana badan mereka mula menggigil dan pening.
"Macam mana nak tahu rendah, kita akan mula menggigil, kita akan mula cakap dah pening. Pada ketika itu, adalah diharuskan untuk berbuka kerana berbahaya untuk diri dan bayi jika meneruskan puasa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram