Haiwan diharamkan dalam Islam selain anjing, babi


  • Mukmin
  • Jumaat, 01 Apr 2022

SELAIN anjing dan babi, anak yang lahir dari kedua-dua binatang itu juga diklasifikasikan sebagai najis.

SEPERTI yang kita sedia maklum, anjing dan babi adalah haiwan yang diharamkan dalam Islam.

Ini termasuk umat Islam diharamkan memegang haiwan itu dengan sengaja atau pun memakan dagingnya.

Malah, bulu, kulit, lemak dan lemaknya juga diharamkan.

Antara ayat al-Quran yang menegaskan akan pengharaman babi adalah seperti firman ALLAH SWT: Maksudnya: Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi. — (Surah al-Baqarah: 173)

Malah, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa memiliki anjing bukan anjing bagi tujuan berburu, dan bukan tujuan menjaga binatang ternak, bukan juga bagi tujuan menjaga ladang, maka yang demikian itu menyebabkan pahalanya berkurangan dua qirath (satu qirath seperti gunung uhud) pada setiap hari," — Hadis Riwayat Muslim

Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menerusi perkongsian video di laman TikTok berkata, terdapat satu lagi binatang yang diharamkan dalam Islam.

Katanya, selain anjing dan babi, anak yang lahir dari kedua-dua binatang itu juga diklasifikasikan sebagai najis.

"Contohnya anjing atau babi berkahwin (bersenyawa) dengan binatang suci, sebagai contoh itik betina dan anjing jantan.

"Kalau itik dan anjing dapat anak dan walaupun anak yang dilahirkan itu atas rupa itik, ia tetap najis.

"Begitu juga kalau lembu berkahwin dengan babi, walaupun atas rupa lembu, ia tetap najis dan najisnya adalah mughalazah (berat)," jelasnya.

Katanya lagi, haiwan lain diklasifikasikan sebagai selain ketiga-tiga binatang tersebut iaitu anjing, babi dan anak yang lahir daripada anjing dan babi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram