'Lebih baik wang tiket konsert Justin Bieber diberi kepada adik-beradik susah'


  • Mukmin
  • Sabtu, 26 Mac 2022

JUSTIN Bieber dijangka akan menemui peminat di Malaysia pada 22 Oktober ini. — Agensi

SELEPAS 10 tahun membuat persembahan di Malaysia, penyanyi Justin Bieber akan kembali dalam siri jelajahnya dikenali sebagai Justice World Tour.

Penyanyi dari Kanada itu dijangka akan mengadakan persembahan pada 22 Oktober depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Tiket bagi menyaksikan persembahan itu bakal dijual pada harga dari RM288 sehingga RM2,088 bermula 31 Mac ini.

Kemunculan Bieber tentunya ditunggu-tunggu oleh peminat setianya, namun apa yang dibimbangkan ialah percampuran lelaki dan wanita dengan aksi tidak dikawal.

Malah dengan harga tiket mencecah ribuan ringgit, ia boleh dianggap satu pembaziran sedangkan ia boleh digunakan untuk perkara lebih berfaedah terutamanya ketika rakyat terkesan akibat penularan Covid-19.

Tampil memberi pandangan mengenai perkara itu, Ustaz Azhar Idrus atau lebih mesra dipanggil UAI berkata, Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur sebaliknya ia merupakan agama yang bersifat mengawal.

Namun, setiap umat Islam harus faham batas-batas tertentu seperti dibenarkan oleh agama.

"Nak berhibur, bersukan, bermain, cari rezeki, silakan.

"Tapi Islam kawal, tidak boleh berlebih-lebihan dan tidak sampai menggadai akidah, tidak sampai buang duit yang membazir kerana duit kita akan ditanya di akhirat," katanya seperti perkongsian video di laman TikTok.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidak bergesel kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat, sehingga Allah SWT akan menanyakan empat perkara: Pertama, umurnya dihabiskan untuk apa. Kedua, ilmunya diamalkan atau tidak. Ketiga, hartanya dari mana dia peroleh dan ke mana dibelanjakan. Keempat, tubuhnya badannya untuk apa digunakan,"[Hadis Riwayat Tirmizi].

Mengulas lanjut, UAI menyarankan supaya wang yang digunakan untuk membeli tiket konsert diberi kepada adik-beradik yang lebih susah atau saudara-mara yang memerlukan.

"Beri kepada saudara yang sakit atau mak yang duduk jauh sedekah dekat dia.

"Kenapa pula nak bazir benda macam tu (beli tiket). Tak usah tengok (konsert) ya," nasihatnya.

Kali terakhir penyanyi itu datang ke Malaysia pada 2012 dan membuat persembahan di Sunway Lagoon. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram