BULAN Ramadan yang berbaki lagi 4 hari, pasti ramai umat Islam yang sudah siap mencatat aktiviti yang boleh membantu mereka menambah pahala di bulan yang mulia itu.
Amalan seperti solat terawih, qiamulail, melazimi zikir, sedekah, zakat dan mengaji Al-Quran adalah yang aktiviti popular yang akan dilakukan oleh para umat Islam dalam memanfaatkan bulan ramadan.
Seperti yang dikongsikan oleh pengacara nombor satu Malaysia, Datuk Aznil Haji Nawawi matlamat Ramadannya pada kali ini ialah mahu cuba khatam Al-Quran sekali lagi dan ingin memperbaiki bacaanya.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa Aznil ataupun lebih sering disapa sebagai Pak Nil berkongsi bahawa ada masanya beliau akan buat live dan pengikut media sosialnya akan membantu membetulkan kesilapan dalam bacaannya.
Sikap tidak malu dalam belajar mengaji Pak Nil ini boleh dijadikan ikutan oleh para orang lain kerana walaupun sudah menjangkau umur 59 tahun, beliau masih istiqamah dalam menuntut ilmu untuk memperbaiki bacaan.
Apa yang dilakukan oleh Pak Nil itu seiring dengan apa yang diperkatakan oleh penceramah, Ustazah Wan Nur Hazila bahawa umur bukan menjadi penghalang untuk orang yang baharu ingin belajar mengaji.
"Walaupun berapa umur kita pada saat ini. 30 tahun ke 40 tahun atau 50 tahun sekali pun. Selagi mana kita masih hidup, Allah SWT masih beri peluang kepada kita untuk buat pilihan untuk nak pilih macam mana.
"Maksudnya umur bukan jadi batas. Sebenarnya selagi kita ada umur, selagi itu kita sempat lagi untuk belajar Al-Quran," katanya menerusi rancangan sembang wanita bersama ustazah pilihan di radio Zayan.
Malah, Nur Hazila turut berkongsi tips yang boleh dilakukan oleh seseorang yang baru ingin berjinak-jinak dalam memperbaiki dan belajar mengaji Al-Quran.
Menurutnya, perkara pertama yang perlu ada dalam seseorang itu jika ingin mempelajari kalam ALLAH ialah perlu mempunyai niat yang kuat supaya nanti segala proses pembelajaran akan dipermudahkan oleh-Nya.
"Pertama sekali perlu ada niat yang kuat. Niat kita ni, Ya ALLAH aku niat betul-betul nak belajar Al-Quran, Ya ALLAH, Kau permudahkan jalan untuk aku capai, adakanlah aku dengan cinta-Mu supaya sampai kefahamanku. Itu yang pertama.
"Pertama kena jelas niat untuk belajar Al-Quran. Kena kuat niat kerana ALLAH SWT," katanya.
Katanya, perkara kedua yang boleh dilakukan ialah mengorbankan sedikit wang, masa serta tenaga untuk mencari guru-guru yang boleh membimbing dan mengajar Al-Quran.
"Carilah guru, ramai sangat guru-guru yang boleh mengajar Al-Quran. Duit boleh kita cari tetapi nilai ilmu itu sangat mahal dan diperlukan perjuangan.
"Mengorbankan duit, masa tenaga untuk kita nak peroleh sesuatu yang berharga iaitu ilmu itu sendiri.
"Belajarlah, belanjalah, korbankanlah duit dan masa serta tenaga sikit untuk kita nak belajar Al-Quran," ujarnya.
Tambahnya lagi, apabila niat dan usaha mencari guru itu sudah dapat diusahakan oleh seseorang yang ingin belajar mengaji, sifat istiqamah perlu ditanamkan dalam diri mereka.
"Itu yang paling mencabarlah. Cuba sedaya upaya kan kalau boleh dalam sehari cuba jangan tinggalkan Al-Quran," katanya.
Justeru, usia bukan penghalang untuk seseorang ingin belajar mengaji tetapi lagi merugikan jika mereka tidak memulakan untuk menuntut kalam ALLAH itu.
ALLAH SWT telah menjanjikan ganjaran buat hamba-hamba-NYA yang tidak lancar membaca al-Quran, tetapi masih berusaha mempelajarinya.
Sabda Rasulullah SAW: “Seorang yang lancar membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa selalu taat kepada ALLAH. Adapun, yang membaca al-Quran dan tersekat-sekat di dalamnya dan sulit atasnya bacaan tersebut, maka, baginya dua pahala.” — (Riwayat Muslim). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram