Isu anak mualaf, permohonan ibu tunggal cabar bekas suami didengar 17 Mei


MAHKAMAH Tinggi menetapkan 17 Mei ini untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Siew Hong.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 17 Mei ini untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan ibu tunggal, Loh Siew Hong bagi mencabar tindakan bekas suaminya mendaftarkan ketiga-tiga anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

Peguam A. Srimurugan yang mewakili Loh ketika dihubungi pemberita berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh secara dalam talian.

Loh, 34, selaku pemohon memfailkan permohonan tersebut pada 25 Mac lepas dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Ibu tunggal itu memohon deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya adalah penganut agama Hindu dan bekas suaminya, M. Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

Wanita itu juga menuntut deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya, sebagai kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk memeluk agama Islam, tanpa keizinannya.

Beliau memohon perintah certiorari untuk membatalkan Akuan-Akuan Memeluk Agama Islam bertarikh 7 Julai 2020 yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Negeri Perlis atas nama ketiga-tiga anaknya selain membatalkan kad-kad rasmi memeluk agama Islam jika ia telah dikeluarkan oleh pendaftar mualaf berkenaan atau mana-mana pihak lain dan memohon perintah larangan untuk menghalang pihak terbabit mengeluarkan kad berkenaan, sekiranya belum dikeluarkan.

Selain itu, ibu tunggal berkenaan memohon perintah mandamus untuk mengarahkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis memadam atau membatalkan nama dan nama Islam anak-anaknya dalam Daftar Mualaf Negeri Perlis dan perintah larangan untuk menghalang Mohd Asri, melalui pegawai, pekerja atau Jabatan Mufti Negeri Perlis membuat apa-apa kenyataan secara nyata atau tersirat yang boleh membawa maksud anak-anaknya mualaf atau beragama Islam.

Pemohon juga menuntut deklarasi bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, dalam versi bahasa Malaysia dan Inggeris, seperti yang dipinda oleh Seksyen 7 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) 2016, yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak sebagai mualaf hanya dengan keizinan ibu atau bapa kanak-kanak tersebut, walaupun kedua-dua mereka masih hidup, adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Pada 21 Februari lepas, tiga beradik yang berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan serta-merta kepada Loh, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Dalam notis usul difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Februari lepas, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.

Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden dan dikembalikan kepadanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram