SATU dunia kini bercerita mengenai bomoh hujan, Rara Istiani Wulandari apabila 'usaha' wanita itu mengalih hujan semasa berlangsungnya saingan MotoGP Mandalika 2022 di Indonesia pada Ahad, tular di media sosial sehingga hari ini.
Cuma malangnya, dia tetap gagal menghentikan cuaca buruk terbabit sehingga menyebabkan nama wanita yang dikenali sebagai Mbak Rara itu tiba-tiba sohor kini (trending) di TikTok dan Twitter.
SELAIN mencari rezeki sebagai bomoh hujan, Mbak Rara juga bekerja sebagai tukang tilik di Indonesia. — Agensi
Selain digesa supaya insaf dan bertaubat kerana dianggap memalukan Indonesia, tidak kurang juga ada dalam kalangan netizen yang memuji aksi bomoh hujan itu.
Malah, aksi memegang sebiji mangkuk dan mengetuknya yang ditiru pelumba MotoGP sebelum perlumbaan berlangsung di litar yang sebelum ini dikenali sebagai Litar Antarabangsa Sentul juga kini tular di media sosial.
Namun, usaha bersungguh-sungguh Mbak Rara mengalihkan hujan dilihat menemui kegagalan apabila hujan masih membasahi litar tersebut.
Tersentak insiden itu, segelintir ciapan di media sosial menganggap perbuatan karut itu sebagai memalukan selain menyuruhnya supaya bertaubat.
Selain dikatakan tidak 'sebulu' dengan Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, Dwikorita Karnawati, nama Mbak Rara sebagai bomoh hujan juga bukan lagi asing dalam kalangan netizen Indonesia apabila pernah bertugas sebagai pawang menghalau hujan ketika temasya Sukan Asia di Palembang pada 2018.
Cuma di sebalik kegagalan Mbak Rara, media Indonesia tetap 'mengorek' semula kejayaan lama wanita itu yang dilaporkan turut mencari sesuap nasi menjadi tukang tilik selain bomoh hujan.
Sama ada suratan atau kebetulan, berikut merupakan antara ramalan tepat Mbak Rara yang dicanang-canang media Indonesia sehingga menyebabkan namanya 'mendonia'.
1. Nahas pesawat Sriwijaya Air SJ 182
Kalau nak tahu, Rara adalah salah satu paranormal yang pernah membaca kecelakaan udara yang terjadi pada dua tahun lepas yakni pesawat Sriwijaya Air SJ 182.
Rara dilaporkan mendakwa pada 31 Disember 2020, dirinya sudah menilik akan ada pesawat Indonesia akan jatuh terhempas.
Dia juga bahkan telah menghubungi pihak Basarnas (Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia) untuk waspada dan bersiap-siaga.
Akhirnya seminggu kemudian pada 9 Januari 2021, pesawat Sriwijaya Air SJ 182 disahkan jatuh terhempas di perairan kepulauan Seribu.
“Saya meramalkan kejadian itu pada 31 Disember 2020. Saya kemudian memberitahu hasil ramalan itu dengan Basarnas.
"Ternyata pada 9 Januari pesawat Sriwijaya Air SJ 182 mengalami kecelakaan,” katanya saat ditemui di apartmennya di Denpasar, Bali, lapor portal Tribun Bali.com.
Pada masa sama, Rara juga telah meramal juruterbang yang akan membawa pesawat tersebut adalah sosok yang bijaksana dan dikenal baik, dan ia terbukti benar bahawa Sriwijaya Air SJ 182 dikemudi Kapten Afwan yang dikenali cukup warak.
Rara juga meramalkan kotak hitam pesawat itu akan ditemui tiga hari kemudian dan ia benar-benar terjadi.
2. Meramalkan Nusantara muncul ibu negara baharu Indonesia
Percaya atau tidak, Rara Istiati Wulandari juga pernah meramalkan kelahiran ibu negara baharu Indonesia iaitu Nusantara.
Ramalannya itu didedahkan menerusi channel YouTube dirinya iaitu @RaraCahayaTarot_Indigo.
Ia meramalkan hal tersebut menggunakan kad tarotnya dan membakar beberapa keping kertas sekitar 2020.
Akhirnya pada 14 Januari 2022, Presiden Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi mengumumkan secara rasmi bahawa Nusantara kini ibu negara baharu Indonesia bagi menggantikan Jakarta.
3. Percintaan Rizky Billar - Lesty Kejora
Di saat seluruh industri hiburan Indonesia tidak percaya dengan ramalannya, Mbak Rara tetap dengan pendiriannya ketika meramalkan percintaan antara dua figura muda tersohor Indonesia, Rizky Billar - Lesty Kejora.
Malah, Mbak Rara juga mendakwa hubungan selebriti itu sudah dirancang serta berorientasikan wang meskipun dinafikan sumber terdekat pasangan tersebut.
Pasangan tersebut akhirnya mendirikan rumah tangga pada 19 Ogos 2021, yang mana ia dijadikan 'modal' oleh Mbak Rara bahawa ramalannya sekali lagi tepat sekali gus mengukuhkan portfolionya sebagai tukang tilik terkenal Indonesia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram