PELANCONGAN adalah satu industri yang sangat penting kepada ekonomi negara kita. Sebelum Covid-19, ia adalah salah satu industri yang terbesar menyumbang kepada negara.
Sejak kebelakangan ini, tanda-tanda bahawa industri ini sedang membangkit sudahpun agak ketara. Bagi menarik para pelancong untuk berkunjung dan melawat tempat-tempat menarik di negara bertuah kita ini, imej adalah antara faktor-faktor yang penting selain kesesuaian harga, musim dan kebolehcapaian.
Pelbagai kajian telahpun dibuat dan didapati bahawa imej negara kita secara amnya adalah baik, cuma masih ada banyak lagi komponen yang boleh diperbaiki.
Antara komponen-komponen imej yang paling ketara adalah imej kebersihan. Adakah anda sedar bahawa masih terlalu banyak kawasan-kawasan tarikan pelancong di negara kita tidaklah begitu bersih dan indah sepertimana yang dipromosikan? Pernahkah anda bersiar-siar di pesisiran pantai berpasir putih tetapi kelihatan dipenuhi dengan puntung rokok, botol plastik dan paling menjengkelkan, lampin pakai buang bayi?
Pernahkah anda melancong jauh ke destinasi makanan yang viral dan terkenal dengan kelazatan makanannya, tetapi selera anda terbantut kerana longkang bersebelahan restoran tersebut tersumbat dengan sampah-sarap sekali gus menyebabkan bau yang kurang menyenangkan?
Banyak lagi contoh-contoh yang penulis boleh berikan tetapi ia akan membuat pembaca berasa mual.
Tidak dinafikan bahawa kebersihan tempat-tempat awam berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan. Namun, kita sebagai pengguna ataupun pengusaha perniagaan, perlulah bertanggungjawab untuk bersama-sama menjaga kebersihan.
Jika tidak pun, sekurang-kurangnya janganlah bersifat pengotor dan membuang atau melupuskan sampah dengan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi di tempat-tempat yang sering dikunjung oleh para pelancong.
Banyak negara-negara yang mempunyai tahap kebersihan tinggi yang boleh kita contohi. Antaranya adalah Jepun dan New Zealand, yang mana rakyat mereka amatlah mementingkan kebersihan. Malah jika anda sebagai pelancong didapati tidak melupuskan sampah anda dengan baik, anda boleh berdepan kemungkinan saman yang tinggi. Jika tidak pun, ada saja rakyat mereka yang akan menegur perbuatan anda.
Mereka bangga dengan imej kebersihan negara mereka. Kita sepatutnya juga begitu. Jadi, bagaimana kita boleh ubah?
Kita semua perlu ada kesedaran tentang kebersihan. Kebersihan melambangkan keperibadian kita dan ia bermula dengan diri sendiri. Malah, di dalam pembelajaran ilmu agama dan moral, kebersihan adalah dititikberatkan dan telah disampaikan sejak di awal alam persekolahan lagi.
Setelah ada kesedaran, kita perlu panjangkan atau memperingatkan ahli keluarga serta sahabat handai kita. Mulai dari sekarang, cubalah amalkan konsep 5R selagi boleh semasa beriadah atau melancong. Konsep ini akan dapat mengurangkan bahan buangan dan sampah-sarap serta membantu ke arah mengubah sifat pengotor ke pembersih.
Jikalau tiada pilihan yang lebih lestari dan anda perlu menggunakan sesuatu produk yang mana ada sisa-sisa pembungkusan atau penggunaan yang boleh dikitar semula (Recycle), pastikan anda bawa beg-beg guna semula bersama anda. Adalah lebih baik jika setiap ahli keluarga anda membawa beg masing-masing supaya mereka dapat menilai sama ada penggunaan tersebut adalah betul-betul satu keperluan. (Rethink). Simpan sisa-sisa tersebut sehingga ada tempat pembuangan yang khusus untuk dikitar semula. Jika tiada pilihan lain, anda boleh cuba mengurangkan penggunaan produk tersebut (Reduce) daripada jumlah yang sepatutnya, dalam erti kata jangan membazir. Selain itu, apabila anda membeli barangan,jangan terima beg plastik, sebaliknya gunakan beg guna semula anda (Refuse). Sebolehnya, fikirkan bagaimana sisa-sisa penggunaan kita boleh di guna semula untuk tujuan yang berbeza (Repurpose).
Marilah kita bersama-sama mengubah ke arah yang lebih baik. Mari kita mulakan dengan langkah-langkah yang kecil, tetapi konsisten dan pasti.
Ia tidaklah semudah kata-kata tetapi jika ada kemahuan,mestinya ada jalan untuk kita berubah.
Semoga dengan perubahan-perubahan kecil ini sedikit sebanyak dapat membantu kedudukan serta dapat memulihkan industri pelancongan kita dalam masa yang lebih singkat ke arah yang lebih mampan untuk kebaikan negara. — Majoriti
Dr Samshul Amry Abdul Latif, Pensyarah Kanan Jabatan Pelancongan Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram