SALAH satu perkara penting dalam wasiat raja-raja Melayu yang dibuat semasa merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 adalah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus diangkat sebagai bahasa rasmi untuk pendidikan dan pentadbiran negara.
Globalisasi yang melanda sejak awal abad ke-16 memberi kesan kepada Bahasa Melayu dari segi peristilahan yang diubah, dicorak dan diperkaya tetapi tetap mengekalkan jati asalnya.
Perkara ini menunjukkan Bahasa Melayu dinamik dan mudah dilentur sesuai dengan perkembangan semasa.
Sementara itu, pada masa ini jumlah penutur Bahasa Melayu dalam pelbagai dialek di seluruh pelosok dunia mencecah 300 juta orang, menjadikan Bahasa Melayu termasuk dalam tujuh bahasa besar di dunia, selain bahasa Rusia, Arab, Sepanyol, Hindi, Inggeris dan Mandarin.
Namun, penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan rumpun Melayu sahaja tidak mampu mengangkat martabat bahasa itu menjadi bahasa antarabangsa (rujukan Hasliza Hassan, 2018).
Sehubungan dengan itu, Kursi Pengajian Melayu dan Pengajian Bahasa Melayu di beberapa universiti terkemuka dunia telah diwujudkan seperti Universiti Leiden, Universiti Ohio, Universiti Wellington, Universiti Beijing dan Universiti Hankuk yang diperkukuh untuk pengantarabangsaan Bahasa Melayu.
Dalam hal ini, penulis sendiri pernah berpeluang melihat pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) pada sekitar tahun 2007.
Pengalaman melawat Jabatan Bahasa Melayu di BFSU pada masa tersebut merupakan suatu pengalaman berharga yang tidak dapat dilupakan.
Ketika lawatan tersebut penulis menjadi penyelaras program bersama rombongan pensyarah seramai 20 orang termasuk Timbalan Pengarah dari sebuah Institut Latihan Perguruan di Seremban, Negeri Sembilan.
Selaku penyelaras, penulis seperti mendapat kejutan budaya ketika mula-mula menghubungi pengarah Pusat Pengajian China-Melayu BFSU, Prof Dr Wu Zong Yu untuk mendapatkan kebenaran bagi mengadakan lawatan. Penulis pada ketika itu menelefon dengan menggunakan Bahasa Inggeris tetapi dijawab oleh Prof Dr Wu Zong Yu dalam Bahasa Melayu yang fasih!
PROF Madya Dr Faridah Nazir (kanan) ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu di Taiwan pada 2020.
Kejutan budaya penulis bertambah lagi apabila pertama kali turun daripada bas persiaran di kampus BFSU. Penulis dan rakan-rakan disambut dengan begitu mesra oleh pelajar Cina dari Jabatan Bahasa Melayu BFSU.
Mereka lengkap berpakaian baju kurung, baju kebaya dan baju Melayu serta menyapa kami dengan bahasa Melayu yang fasih!
Ketika memperkenalkan diri, mereka menggunakan nama-nama panggilan seperti Melur, Mawar, Melati dan sebagainya yang merupakan nama-nama bunga dalam bahasa Melayu.
Penulis berasa sangat teruja, pelajar-pelajar ini bukan sahaja belajar dan fasih berbahasa Melayu malah mengamalkan budaya Melayu seluruhnya.
Kami dibawa melawat di sekitar BFSU dab sepanjang lawatan, penerangan diberikan oleh pelajar-pelajar dalam bahasa Melayu sepenuhnya yang tiada langsung pelat Cina.
Setelah tamat lawatan di sekeliling kampus, kami dibawa ke sebuah bilik mesyuarat untuk sesi dialog dengan Prof Dr Wu Zong Yu dan tenaga pengajar yang lain. Semua yang hadir semasa sesi dialog tersebut menggunakan bahasa Melayu yang fasih!
Malah pelajar-pelajar BFSU turut mengadakan persembahan deklamasi sajak dan nyanyian dalam bahasa Melayu.
Penulis berasa bangga kerana bahasa Melayu bukan sahaja dipelajari malah telah diamalkan di peringkat antarabangsa.
Kejutan budaya penulis tidak terhenti setakat lawatan di BFSU. Pada tahun 2019, penulis berpeluang ke Goethe University in Frankfurt, Jerman untuk satu seminar Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia.
Seminar tersebut dihadiri oleh ramai tokoh Bahasa Melayu dari seluruh pelusuk dunia. Semua yang hadir bertutur dalam Bahasa Melayu dengan fasih.
Penulis berpeluang bertemu dengan tokoh Bahasa Melayu dari Korea, Belanda, China, Taiwan, Indonesia dan pelbagai negara lain. Kami seperti sebuah keluarga kerana semua bertutur dalam Bahasa Melayu yang fasih terutama ketika waktu rehat.
Seterusnya, sejurus sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disebabkan oleh penyebaran Covid-19, iaitu pada akhir bulan Februari 2020, penulis sekali lagi berpeluang menyertai satu seminar Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia di Taiwan.
PADA masa ini jumlah penutur Bahasa Melayu dalam pelbagai dialek di seluruh pelosok dunia mencecah 300 juta orang.
Sekali lagi penulis dapat menyaksikan betapa bahasa Melayu disanjung tinggi di peringkat antarabangsa. Tokoh-tokoh Bahasa Melayu dari seluruh pelusuk dunia berkumpul di Persidangan Antarabangsa Pengajian Alam Melayu (PAPAM 2020) di Universiti Feng Chia di Taiwan.
Perkara yang membanggakan apabila bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar seminar ini dan turut digunakan dalam ucap tama.
Mungkin jika kita tidak berpeluang menghadiri majlis ilmu seperti seminar pada peringkat antarabangsa, kita akan menganggap bahawa bahasa Melayu masih berada di tahap rendah.
Akan tetapi, pengalaman penulis sendiri membuktikan hal sebaliknya. Jika di Malaysia, kaum bukan Melayu ada yang tidak fasih berbahasa Melayu, tetapi mereka yang ada di luar negara begitu fasih bertutur dalam Bahasa Melayu.
Oleh itu, tiada yang mustahil. Mungkin azam dan kesungguhan golongan bukan Melayu mempelajari bahasa Melayu di luar negara menyebabkan mereka begitu fasih berbahasa Melayu. Selain itu, golongan bukan Melayu di luar negara yang mempelajari Bahasa Melayu juga turut mengamalkan Bahasa Melayu yang dipelajari dalam kehidupan seharian.
Amalan inilah yang menyebabkan mereka fasih berbahasa Melayu dan perkara ini juga perlu menjadi contoh oleh semua kaum bukan Melayu di Malaysia.
Jika kita terus tidak mengendahkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kehidupan, tentulah perkara ini akan merugikan kita sebagai rakyat Malaysia.
Selain itu, alangkah malunya jika kita berada di luar negara dan mendapati bahawa orang lain di negara tersebut boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan fasih sedangkan kita sendiri yang lahir dan membesar di Malaysia, tidak dapat menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. — Majoriti
Prof Madya Dr. Faridah Nazir, Pensyarah Kanan Fakulti Kuliyyah Bahasa dan Pengurusan Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti.*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram