Tak berdosa jika tak boleh baca al-Quran, tapi perlu hafal satu surah wajib


  • Mukmin
  • Jumaat, 18 Mac 2022

UMAT Islam wajib membaca al-Fatihah iaitu surah diwajibkan ketika solat. — Gambar hiasan

AL-QURAN merupakan kitab suci yang diwahyukan oleh ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat dan petunjuk bagi manusia yang beriman dan bertakwa dalam kehidupan mereka.

Malah, kandungan di dalam al-Quran juga bagi memberi pengajaran kepada manusia dan oleh sebab itu, mereka akan mengetahui pelbagai jenis kebenaran dan kepalsuan di dunia dan akhirat.

Firman ALLAH SWT: "Sungguh, Kami telah mendatangkan kitab (al-Quran) kepada mereka, yang Kami jelaskan atas dasar pengetahuan, sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman," Surah al-A'raf: 52

Justeru, sesiapa sahaja yang mengikut petunjuk al-Quran akan mendapatkan kemuliaan, kejayaan, keselamatan dan kebahagiaan baik di dunia mahu pun di akhirat.

Menjawab persoalan orang ramai mengenai hukum seseorang tidak boleh membaca al-Quran, Ustaz Azhar Idrus (UAI) berkata, individu tersebut tidak berdosa kerana tiada hadis yang menyatakan perkara tersebut.

Sebaliknya, pendakwah bebas itu berkata, individu itu akan mengalami kerugian kerana tidak mampu membaca kitab suci berkenaan.

Jelasnya, individu itu diwajibkan sekurang-kurangnya mampu membaca surah wajib ketika solat iaitu al-Fatihah.

"Hal ini kerana kalau tiada bacaan al-Fatihah, maka tiadalah sembahyang. Tidak jadi sembahyang bagi mereka yang tidak baca al-Fatihah," katanya seperti perkongsian video di laman TikTok.

Jelasnya, para ulama menyatakan bahawa dalam keseluruhan 114 surah al-Quran, hanya satu surah wajib dibaca oleh umat Islam iaitu surah al-Fatihah.

Tambahnya, dalam satu mukim mesti ada seseorang yang boleh membaca sekurang-kurangnya satu surah daripada 30 juzuk al-Quran kerana ia merupakan fardhu kifayah.

"Dan kita orang awam ni biarlah boleh membaca walaupun tak sedap suara kerana banyak kelebihan. Siapa baca satu huruf daripada al-Quran maka dia dapat satu pahala. Dan satu pahala itu digandakan 10 pahala.

"Nabi bersabda siapa baca Alif Lam Mim iaitu tiga huruf, bukan tiga pahala yang diperolehi seseorang, sebaliknya 30 (ganjaran) pahala.

"Tapi, kalau kita sibuk sangat (dengan urusan harian), kita boleh baca Alif Lam Mim," katanya.

Abdullah bin Mas’ud dalam hadis Sunan Tirmizi menyatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf," Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram