Sikap culas pekerja boleh diubah melalui iman


  • Mukmin
  • Sabtu, 19 Mac 2022

APABILA orang beriman bekerja dalam satu syarikat, mereka bukan bekerja semata-mata demi kerja yang mendatangkan hasil ataupun sekadar menyenangkan hati pihak atasannya dengan niat inginkan gaji dan kedudukan tinggi. — Gambar hiasan

SIKAP pekerja yang culas, tidak amanah, lewat masuk ke tempat kerja sering kali menjadi budaya kerja dalam sesetengah masyarakat.

Perangai yang negatif itu sukar untuk dibuang kerana telah sebati dalam diri seseorang itu tetapi sebenarnya keimanan kepada ALLAH boleh mengubah sikap buruk berkenaan.

Ulama tersohor, Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya "Al-iman wa Al-Hayat" atau dalam versi terjemahannya “Iman dan Kehidupan” memfokuskan satu bab bagi menjelaskan peranan iman dalam mempertingkatkan prestasi kerja.

“Orang beriman itu bekerja atas dorongan dari dalam. Dia bukan sekadar bekerja, melainkan bekerja dengan kemahuan yang bulat, cara yang baik dan sempurna. Untuk itu, dicurahkan segenap tenaga dan kesanggupannya, kerana disedarinya dengan kepercayaan yang yakin bahawa ALLAH sentiasa memperhatikannya dalam dia mengejarkan sesuatu," katanya.

buku

BUKU Iman dan Kehidupan hasil nukilan Dr. Yusuf Al-Qaradawi.

Sikap yang dinyatakan oleh beliau selari dengan konsep ihsan dalam Islam yang mana Rasulullah SAW pernah bersabda;

“Ihsan (berbuat sesuatu dengan baik) ertinya engkau mengabdikan diri kepada ALLAH seolah-olah engkau melihat-Nya. Dan kalau engkau tidak boleh seolah-olah melihat-Nya, maka hendaklah engkau ingati bahawa ALLAH melihat engkau.” — Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Menurut beliau, apabila orang beriman bekerja dalam satu syarikat, mereka bukan bekerja semata-mata demi kerja yang mendatangkan hasil ataupun sekadar menyenangkan hati pihak atasannya dengan niat inginkan gaji dan kedudukan tinggi.

“Orang beriman akan bekerja dengan jujur dan bersungguh-sungguh, kerana mengingati bahawa Tuhan sentiasa melihatnya dan dia merasakan kewajipan untuk memelihara milik sesamanya. Dengan demikian itu da mengharapkan balasan yang baik dari Tuhan di hari Akhirat.”

Firman ALLAH yang bermaksud: "Dan katakan: 'Berkerjalah kamu! Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan." — At-Taubah, 9: 105

Keimanan jelas terbukti akan dapat mengubah sikap yang negatif dalam diri pekerja.

Pemantapan iman dalam setiap individu muslim dapat membantu meningkatkan kualiti dan produktiviti pekerja, seterusnya dapat memangkin ekonomi negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram