KEMPEN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai bercanggah dengan ajaran agama rasmi negara iaitu Islam.
Perkara itu disuarakan oleh seorang ahli parti MCA yang juga pengasas The Mines Resort and Country Heights Holdings, Tan Sri Lee Kim Yew turut menyatakan bahawa kempen, 'Malu Apa Bossku' tidak menunjukkan rasa hormat terhadap Yang Di Pertuan Agong (YDPA) sebagai ketua agama Islam di Malaysia.
"Sebarang tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam sekali gus melanggar peruntukkan Perkara Ketiga Perlembagaan Persekutuan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan.
"Jika semua rakyat Malaysia belajar untuk jadi 'tak malu' seperti dia (Najib), jadi apa gunanya adakan pilihan raya? Apakah kriteria calon atau pemimpin yang Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) bariskan untuk negara? Pemimpin yang tidak tahu malu?" katanya menerusi satu surat rasmi kepada Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.
Katanya lagi, Najib yang tidak bertanding di PRN Johor secara aktif berkempen di negeri itu meskipun dia mempunyai rekod jenayah yang disabitkan dengan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi.
Jelasnya, 'Urusan Seri Paduka Baginda' yang diutus dalam perihal urus tadbir kerajaan pusat mahupun negeri perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab oleh SPR.
CIAPAN seorang pengguna Twitter tentang kempen yang dihadiri Najib.
"Najib melakukan kempen secara besar-besaran melebihi calon yang bertanding di negeri itu, malah dengan cogan 'Malu Apa Bossku', dia berusaha meraih populariti dan meletakkan kredit ke atas dirinya. Ini perlu disiasat oleh SPR.
"Kita perlukan pemimpin yang bermoral dan beretika, oleh itu kempen 'Malu Apa Bossku' mesti dihentikan dan tidak digunakan dalam mana-mana pilihan raya di Malaysia," ujarnya.
Dalam pada itu di laman sosial, ramai yang bersetuju dengan pandangan Kim Yew, malah merasakan perkara ini sepatutnya disuarakan oleh mufti mahupun ulama di negara ini.
Seorang pengguna Twitter, @KucingKuncitara berkongsi hantaran yang menulis, "Mufti dan ulama tak tegur, orang bukan Islam yang bermoral juga tegur, malu tak?", katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram