SETIAP perkara yang dihadapi seseorang sama ada berupa kesenangan mahupun kesusahan adalah ujian untuk melihat siapa yang lebih baik amalannya di sisi ALLAH SWT.
Pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub berkata, setiap Muslim perlu sentiasa bersabar dan reda apabila ditimpa dengan penyakit, keletihan, kesedihan mahupun kesusahan termasuk musibah banjir yang melanda ketika ini.
"Musibah banjir di beberapa negeri di Malaysia menyebabkan orang yang terlibat mengalami kesusahan dan kepayahan.
"Ada yang kehilangan nyawa, kemusnahan harta juga kerosakan harta benda terkena air banjir seperti kenderaan yang ditenggelami air.
"Sebagai Muslim hendaklah sentiasa sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan ada hikmah yang tersendiri," katanya menerusi laman Facebook.
Beliau berkata, ALLAH SWT mendatangkan ujian berupa musibah, kesakitan, keletihan, kegusaran dan sesuatu yang mengganggu kehidupan adalah sebagai penghapus dosa dan peninggi darjat agar hambaNya sentiasa dalam rahmatNya.
Jelasnya, rahmat ALLAH SWT Maha Luas dan seseorang hambar yang bersabar dengan musibah akan diampuni dosanya.
Justeru, umat Islam disarankan untuk tidak menyalahkan antara satu sama lain di atas musibah itu.
"Semoga dosa kita terampun walaupun kesakitan dan kesulitan yang kita lalui mungkin kecil berbanding dengan orang lain. Mungkin ibarat duri yang mencucuk atau melukakan anggota tubuh.
"Marilah kita menyerahkan segala musibah kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada sahabat," katanya.
Nabi SAW bersabda: "Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’ (Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung), kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga," — Hadis Riwayat Bukhari
Tambahnya, beliau berharap supaya orang ramai menerima dengan sabar dan reda dengan kesusahan, kepayahan, kesedihan dan keperitan akibat banjir.
"Moga Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram