Akibat perang mulut, lelaki parah ditikam dengan tombak


  • Benua
  • Khamis, 06 Jan 2022

POLIS memeriksa lokasi kejadian lelaki ditikam jiran dengan tombak gara-gara pertengkaran mulut. — Agensi

SEORANG lelaki ditahan polis kerana menikam jirannya menggunakan tombak dalam kejadian di Banjar Dinas Padang Bulia, Desa Padang Bulia, Bali, Indonesia kira-kira pukul 1 pagi, pada Rabu.

Suspek, Kadek Ginarsa, 37, menikam Gede Rentiasa, 48, di dada hingga mangsa cedera parah dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Besar Wilayah (RSUD) Buleleng.

Ketua Bahagian Perhubungan Polis Wilayah Buleleng, Sumarjaya berkata, kejadian bermula ketika mangsa sedang minum arak bersama beberapa orang rakan di rumahnya.

Beliau berkata, ketika itu, mangsa yang berjiran dengan suspek ternampak lelaki itu lalu di hadapan rumah sambil membawa senjata tajam berupa tombak.

"Selepas suspek pulang ke rumahnya, mangsa pula datang ke rumah suspek yang jaraknya hanya lima meter, dengan membawa tombak.

"Tiba-tiba berlaku pertengkaran mulut antara mereka berdua, namun isteri mangsa dikenali Mertasih sempat meleraikan pergaduhan itu selain turut mengajak mangsa pulang," katanya seperti dipetik Detik.com.

Beliau berkata, mangsa yang tidak berpuas hati bagaimanapun kembali ke rumah suspek untuk kali kedua, namun kali ini tidak membawa sebarang senjata.

"Setibanya di sana, mangsa sekali lagi mencabar suspek hingga menyebabkan berlaku pertengkaran mulut.

“Tiba-tiba pelaku masuk ke dalam rumah, mengambil sebilah tombak berukuran 2 meter, kemudian menikam ke lengan kanan mangsa sehingga menembusi bahagian kanan dada yang mengakibatkan kecederaan parah,” kata Sumarjaya.

Melihat mangsa yang berlumuran darah, suspek kemudiannya membawa mangsa ke tingkat atas sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

"Suspek ditahan manakala senjata itu dirampas. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan motif kejadian," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

lelaki, cedera, ditikam, jiran, tombak, Bali, Indonesia