Ustaz tegur sikap pemimpin cari publisiti ketika musibah banjir


  • Massa
  • Rabu, 22 Dis 2021

SEBUAH keluarga membersihkan kawasan rumah mereka sejurus banjir mulai reda di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada Rabu. — Bernama

PENCERAMAH bebas, Elyas Ismail menegur perbuatan ahli politik atau menteri yang didakwa sengaja mencari publisiti di saat ribuan mangsa banjir meminta bantuan dan masih terkandas sehingga kini.

Menurut perkongsiannya di laman Facebook pada Rabu, beliau berkata, perkara itu tidak patut dilakukan dan merupakan sesuatu yang 'teruk'.

"Semua perkara nak dijadikan publisiti, tak peduli keadaan orang lain.

"Patutlah orang-orang soleh dahulu dapat jawatan, menangis berhari-hari memikirkan beratnya amanah yang ditanggung. Bukannya bersorak gembira macam dapat anugerah, sedih," ujarnya.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dikritik pelbagai pihak kerana mengadakan upacara rasmi penubuhan skuad sukarelawan pasca banjir sewaktu ribuan mangsa banjir terkandas menunggu bantuan.

Malahan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengecam tindakan Ahmad Faizal tersebut dan menyifatkan majlis seumpama itu seperti tidak perlu dan lebih baik menggerakkan bantuan dengan kadar segera.

Screenshot 2021-12-22 162630

TINDAKAN Ahmad Faizal mengundang kritikan pelbagai pihak. — Facebook

Susulan teguran itu, Ahmad Faizal mengeluarkan kenyataan menerima nasihat Najib.

"Saya setuju dengan apa dikatakan oleh Najib tidak perlu majlis pelancaran rasmi dan juga paparan digital.

"Ini adalah pengumuman mobilisasi gerak kerja sukarelawan pasca banjir belia seluruh negara. Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperbaiki dan memperbetulkan apa yang sepatutnya," katanya menerusi Facebook pada Ahad.

Tindakan Ahmad Faizal tidak seharusnya dibuat oleh mana-mana ahli politik atau menteri. Contohi rakyat negara ini yang begitu pantas membantu mangsa banjir tanpa mengira siapa mereka.

Terharu melihat ada individu yang sanggup menggunakan bot persendirian untuk membawa mangsa banjir keluar dari lokasi terjejas dan ada juga turut memberikan bantuan tempat tinggal serta makanan kepada mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram