Benarkah suami pukul isteri adalah aib yang harus ditutupi?


  • Mukmin
  • Sabtu, 05 Feb 2022

NABI Muhammad SAW juga menyarankan Fatimah untuk tidak menerima lamaran lelaki yang ringan tangan terhadap perempuan (Sahih Muslim, no. 3786). — Gambar hiasan/Agensi

KENYATAAN pendakwah Indonesia, Oki Sentiana Dewi dalam satu rakaman video menjadi tular apabila Oki menjelaskan seorang isteri harus taat kepada suami serta menyembunyikan aib pasangannya apabila dipukul.

HANTARAN video rakaman ceramah Oki.

Ternyata penjelasan pendakwah itu mendapat kritikan daripada netizen, namun sebenarnya sejauh mana kebenaran suami yang memukul isteri adalah aib yang mesti ditutup rapat oleh isterinya? Adakah itu ajaran Islam serta nasihat Nabi Muhammad SAW?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Indonesia, Faqih Abdul Kodir menerusi laman sesawang Mubadalah.id menyimpulkan bahawa memukul isteri bukanlah perilaku Islam dan bukan perilaku Nabi Muhammad SAW.

Jelasnya lagi, Imam Syafie turut memandang memukul isteri bukan perilaku Nabi SAW dan itu adalah berdasarkan teks hadis yang tercatat dalam berbagai Kitab Hadis, seperti Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah, Sunan Baihaqi, Musnad Ahmad, serta hadis lain.

"Bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah memukul perempuan, dalam keadaan apapun (Sahih Muslim, no. 6195).

"Bahkan dalam keadaan perselisihan, seperti kisah pertengkaran Nabi dengan Aisyah ra. Ketika itu, Abu Bakar ra sendiri iaitu ayah Aisyah ra ingin memukul Aisyah. Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW menghalang pemukulan daripada berlaku (Sunan Abu Dawud, no. 5001)," jelas Faqih.

Malah, Nabi Muhammad SAW juga menyarankan Fatimah untuk tidak menerima lamaran lelaki yang ringan tangan terhadap perempuan (Sahih Muslim, no. 3786).

"Ada juga kisah demonstrasi para perempuan yang menolak para lelaki yang suka memukul isteri yang mana kisah itu dirujuk secara kuat Imam Syafie untuk memilih pandangan tidak memukul isteri sebagai teladan Nabi Muhammad SAW.

"Seperti dicatat oleh Imam Abu Dawud (Sunan Abu Dawud, no. 2148), ada banyak perempuan yang datang mengadu ke keluarga Rasulullah SAW tentang perilaku para lelaki yang masih suka memukul perempuan. Lalu Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa lelaki seperti itu bukan orang-orang baik dan bukan orang-orang pilihan.

"Adakah wanita yang mengadu bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai orang yang mendedahkan aib suami? Apakah Rasulullah SAW pernah menasihati wanita supaya bersabar dan menerima perangai suami, sebagai tuntutan akhlak isteri yang solehah? Atau adakah Nabi Muhammad SAW mendengar mereka, menyokong mereka, dan cuba menghapuskan tingkah laku memukul sebagai bukan pilihan Islam?," katanya.

Jelas Fiqah, pukul isteri adalah sebahagian daripada tingkah laku yang tidak baik, yang tidak sesuai dengan akhlak yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Fiqah juga berkata, menjadi kewajipan bagi kita semua untuk menyedarkan rakyat, baik awam mahupun soleh, agar kembali kepada akhlak kenabian yang jelas menolak pukulan, serta segala bentuk keganasan terhadap wanita. — Majoriti.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram