Ejen rasuah dilaknat Rasulullah SAW


  • Mukmin
  • Selasa, 25 Jan 2022

EJEN rasuah ialah orang yang menjadi perantara perasuah dan orang yang menerima rasuah. — Gambar hiasan/The Star

SELAIN pemberi dan penerima rasuah, terdapat seorang individu lagi yang selalu terlepas pandang dalam isu rasuah serta termasuk dalam golongan yang akan dilaknat oleh Rasulullah SAW iaitu ejen rasuah.

Menjelaskan mengenai siapakah yang dimaksudkan dengan ejen rasuah itu, Dr Ahmad Sanusi berkata, ejen rasuah ialah orang yang menjadi perantara perasuah dan orang yang menerima rasuah.

Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud: Rasulullah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan ejen rasuah, iaitu mereka yang berjalan (menjadi perantara) antara pemberi dan penerima rasuah (Hadis Riwayat Ahmad, no 22399).

Penjelasan dari hadis di atas, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, ejen rasuah itu yang kadang-kadang menyebabkan urus niaga ataupun transaksi rasuah itu berlaku.

"Pemberi rasuah mungkin tidak tahu bagaimana ingin sampaikan sesuatu kepada orang tertentu, oleh itu dia menyuruh orang tengah untuk memberinya. Ejen rasuah itulah yang sebenarnya kita perlu ambil perhatian juga.

"Kata al-imam Ibn Hajar al-Haitami: Hukuman buat perantara (ejen rasuah) adalah sama seperti hukuman yang mewakilkan (perasuah). Sekiranya dia mewakili kedua-dua pihak (iaitu perasuah dan penerima rasuha,) maka jelas dia telah berdosa secara mutlak," katanya menerusi laman Facebook.

Dalam pada itu, dia juga menasihati untuk menyampaikan, mengadukan serta melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa, pihak yang berwajib bagi menangani masalah itu jika ada kawan atau ahli keluarga yang terlibat dalam masalah itu.

"Kadang-kadang kita tidak perasan bahawa yang menjadi ejen rasuah itu kawan kita sendiri. Sepatutnya kita tegur ataupun kita laporkan sebagaimana apa yang difirmankan dalam Al-Quran yang bermaksud ' Dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan'(Surah Al-Maidah, 5:2)," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Islam, ALLAH, rasuah, ejen, pemberi, penerima, Ahmad Sanusi