KADANG susah untuk seseorang itu mengakui kesalahannya dan memohon maaf terhadap orang lain terutamanya jika dia merupakan golongan mempunyai kedudukan kerana segelintir dari golongan berkenaan mempunyai ego yang tinggi.
Namun begitu, menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Ahmad Sanusi Azmi di laman Telegramnya berkata, mengakui kesilapan adalah sifat para Nabi.
"ALLAH SWT menceritakan kepada kita tentang Nabi Adam yang mengakui kesilapannya ketika di syurga (Al-A’raf:23), Nabi Musa menyesali perbuatannya ketika terlibat dalam pergaduhan di Mesir (Al-Qasas: 15-16) dan Nabi Yunus yang menginsafi tindakannya di dalam perut ikan (Al-Anbiya: 87-88)," kata pensyarah itu.
Malah, dia juga memberitahu sikap menerima kesalahan diri adalah penting dalam menjaga ilmu, sebagaimana kisah sarjana Islam Al-Imam Ibn Al-Jawzi yang menceritakan kesungguhan ulama salaf memperbaiki kesilapan mereka sekiranya tersalah dalam memberikan pandangan.
"Apa yang lebih menarik lagi adalah tindakan yang dilakukan oleh Al-Imam Al-Biqa’i, seorang yg pakar dalam bidang penafsiran Al-Quran. Beliau sangat menghargai teguran orang disekelilingnya, Al-Imam al-Biqa’i akan memberikan ganjaran wang bagi mereka yang membetulkan kesilapannya. Kata Al-Imam al-Biqa’i: 'Maka setiap kali seseorang memperingatkan aku tentang kesalahanku, aku akan membayarnya satu dinar. (Maṣāʿid al-Naẓr, 1/104)," kata Sanusi di hantarannya.
Sanusi menambah, para salaf terdahulu juga tidak segan apabila ditegur di depan orang ramai seperti kisah Al-Imam Ibn Kathir meriwayatkan kisah seorang Qadi di Basrah bernama Abdullah Ibn Al-Hasan Al-Anbari.
Abdullah telah ditanya tentang satu perkara dan memberi jawapan yang salah kepada persoalan tersebut dan kesilapan beliau telah ditegur oleh seorang budak kecil di depan orang ramai.
"Abdullah Al-Anbari bagaimanapun tidak segan untuk mengakui kesalahan yang dilakukannya itu dan berkata: 'Menjadi tersalah dalam perkara kebenaran adalah lebih aku suka daripada menjadi ketua dalam kebatilan," tambah Sanusi.
Dalam pada itu, tidak dinafikan bukan mudah untuk seseorang mengakui kesilapan yang dilakukan dan pada kebiasaannya manusia akan lebih marah apabila ditegur di khalayak orang ramai.
"Beberapa kisah di atas memberikan kepada kita gambaran tentang beberapa tokoh salafussoleh terdahulu yang amat menghargai teguran yang diberikan kepada mereka, menerima dengan hati yang terbuka, malah memberikan ganjaran buat mereka yang membantu mengingatkan mereka kepada kebenaran," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram