Sambutan hari agama sedunia rosakkan akidah


  • Mukmin
  • Isnin, 17 Jan 2022

DR Kamilin dalam hantarannya di Facebook berkata, perayaan itu sebenarnya disambut oleh pengikut ajaran Baha'ie pada hari Ahad ketiga setiap Januari. — Facebook

PADA Ahad, tular di media sosial Facebook berkenaan sebuah poster yang dimuat naik oleh Akademi Dr Har (ADH) mengenai ucapan Hari Agama Sedunia.

Susulan poster itu, ramai pihak memberi respons termasuklah beberapa pendakwah seperti Firdaus Wong, Ahmad Fazrin Yahaya dan Dr Kamilin Jamilin yang sepakat mengatakan dalam agama Islam tidak ada sambutan sebegitu rupa kerana perkara itu boleh merosakkan akidah.

Dr Kamilin dalam hantarannya di Facebook berkata, perayaan itu sebenarnya disambut oleh pengikut ajaran Baha'ie setiap Ahad ketiga pada Januari.

"Pagi ini (Ahad) saya terlihat poster ini berlegar di media sosial. Sebagai Muslim yang ingin mempertahankan akidah, saya hairan dan marah dengan sambutan yang berasal dari Amerika sebegini cuba dibawa ke mari.

"Cukuplah kita dengan firman ALLAH yang bermaksud:' Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku' [al-Kafirun: 6]," katanya.

Pensyarah di Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, dalam Islam, sudah jelas perbahasan Fiqh al-Ta'ayush sebagai panduan berinteraksi dan bertoleransi dalam kepelbagaian kehidupan.

Malah, dia juga berharap agar pihak tersebut sudi menerima teguran itu dan memadam hantaran terbabit.

Bagi Firdaus Wong pula, Islam mengiktiraf kewujudan agama lain tetapi hanya mengiktiraf kebenaran agama Islam sebagaimana Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi ALLAH ialah Islam.” (Ali Imran 3:19).

"Dan sesiapa yang menganut agama lain selain dari Islam tidak akan diterima masuk syurga dan akan masuk neraka; dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi, (Ali Imran 3:85)," tambah Firdaus Wong di hantaran itu.

Dalam pada itu, pengasas ADH, Dr Harlina Halizah Siraj di Facebooknya mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas komen dan teguran berkaitan poster sambutan hari agama sedunia.

"Memandangkan pelbagai reaksi dan respons yang kurang baik diberikan kepada sebaran poster tersebut, pihak ADH mengambil sepenuh tanggungjawab dan membuat keputusan untuk menurunkan poster demi menghormati teguran dan pandangan-pandangan yang diberikan," kata Dr Harlina. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram