RASULULLAH SAW sering menggalakkan para sahabat agar membasahi lidah mereka dengan berzikir kepada ALLAH SWT.
Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi hantaran di laman Telegramnya berkata, walaupun amalan mengingati ALLAH SWT itu dilihat ringan pada lisan manusia, namun ganjaran itu besar di sisi-Nya.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, hadis Rasulullah SAW menjelaskan bahawa, barang siapa yang mengucapkan zikir tasbih yang mirip bacaan rukuk dalam solat, maka dikurniakan baginya sebatang pohon tamar di syurga.
Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang mengucapkan “Subhanallahil azimi wa bihamdihi”, maka akan ditanam baginya sebatang pohon tamar di syurga," — Hadis Riwayat al-Tirmizi
Ahmad Sanusi berkata, andai setiap saat ALLAH SWT memberi umat Islam ganjaran sebatang pohon di syurga kelak, maka beliau menghitung pokok yang bakal diperolehi sepanjang hari dengan hanya mengucap zikir ringan itu.
Jelasnya, atas dasar itulah sebahagian ahli syurga nanti bakal menyesal di akhirat kerana tidak memanfaatkan masa mereka dengan berzikir kepada ALLAH SWT.
"Oleh yang demikian, rebutlah peluang emas ini. Ucapkan zikir yang ringan sebegini.
"Mudah-mudahan ALLAH SWT mengurniakan kita ganjaran yang tidak ternilai di sisi ALLAH SWT," katanya.
Sabda Rasulullah: "Tidak ada yang menyebabkan ahli syurga berasa kesal melainkan (apabila mengingatkan) pada saat-saat yang lalu dalam hidup mereka sedangkan mereka tidak berzikir kepada Allah," — Hadis Riwayat al-Tabrani—Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram