JPM tidak campur tangan siasatan RCI Tabung Haji


  • Primer
  • Rabu, 02 Feb 2022

IDRIS (kiri) meninjau kawasan rumah yang terjejas akibat dipukul ribut ketika mengadakan lawatan di Kampung Tawas, Ipoh, Perak pada Rabu.

JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan mencampuri siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu berbangkit mengenai Tabung Haji (TH) yang memulakan tugas dengan mengadakan mesyuarat pertama Rabu lepas.

Menterinya, Senator Idris Ahmad berkata, pihaknya memberi kepercayaan penuh kepada pasukan yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) itu bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi Tabung Haji.

"Kita tidak masuk campur sebaliknya kita hanya beri senarai nama (anggota RCI) kepada Yang di-Pertuan Agong dan baginda telah memberi tauliah, maka kita beri kebebasan kepada mereka untuk melakukan apa sahaja dalam RCI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Penyampaian Sumbangan Skuad Musa'adah Keluarga Malaysia Agensi di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada mangsa ribut dan puting beliung di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Tawas, Ipoh pada Rabu.

Pada 14 Julai tahun lepas kerajaan bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berkaitan Tabung Haji.

Mengenai program yang dihadirinya, Idris berkata, beberapa keluarga mangsa ribut dan puting beliung di Ipoh Ahad lepas menerima bantuan wang tunai RM300 dan bekalan barang keperluan bernilai RM100 setiap keluarga bagi membantu mereka yang terkesan akibat bencana berkenaan.

"Setiap kali bencana agensi-agensi agama akan turun dengan segera untuk membantu mereka yang terkesan walaupun bukan beragama Islam, kerana bencana tidak mengira agama dan bangsa, lebih-lebih lagi kita hidup dalam masyarakat majmuk,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram