RASULULLAH SAW menegur sikap sebahagian manusia yang suka melihat aib orang lain, yang mana mereka suka mengutuk dan mendedahkan aib orang lain sehingga terlupa mengenai dirinya sendiri.
Sabda Rasulullah SAW: "Salah seorang dari kamu mampu untuk melihat kotoran kecil yang menempel di kelopak mata temannya, tetapi lupa dengan batang kayu besar yang menutupi matanya sendiri," — Hadis Riwayat Ibn Hibban.
Menjelaskan hadis itu, Dr Ahmad Sanusi berkata, Rasulullah SAW memberi bimbingan kepada umat Islam agar sentiasa memperbaiki diri dan tidak terlalu sibuk bercakap mengenai keaiban orang lain.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, ada individu yang seronok bersembang mengenai keaiban manusia sehingga terlupa akan kekurangan dirinya sendiri.
"Tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar datang apabila kejahatan itu terpamer secara zahir selain membantu orang yang dizalimi (berunsur jenayah dan sebagainya).
"Kita tidak seharusnya bersungguh-sungguh mencari kesalahan orang yang ALLAH SWT sendiri sembunyikan daripada kita," katanya menerusi laman Telegram.
Mengulas lanjut, Ahmad Sanusi berkata, ALLAH SWT memuliakan hamba-Nya dengan menutup banyak keaiban dan kejahatan.
Beliau berkata, sekiranya segala dosa dan kesalahan yang dilakukan hamba-Nya didedahkan, pasti mereka tidak sanggup untuk berjalan di atas muka bumi ini.
"Ia adalah salah nikmat yang wajib disyukuri oleh setiap insan," katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu ghairah menceritakan dan mendedahkan keaiban orang lain sehingga terlupa tentang diri sendiri.
"Tidak mengapa untuk memperbetulkan kesilapan orang lain dan membantu orang yang dizalimi, tetapi tegurlah dengan adab dan berakhlak. Bukan mengeji dan mencaci dengan lafaz yang tidak memperbaiki," jelasnya. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram