Rasulullah cela pasangan dedah aib rumah tangga


  • Mukmin
  • Jumaat, 24 Dis 2021

TANGKAP layar hantaran dari Facebook Najihah Othman ketika membongkar perbuatan curang Hanafi. — Facebook

ISU rumah tangga yang bergolak sering menjadi bualan hangat warganet.

Pada Isnin, tular di media sosial Facebook mengenai seorang isteri yang membongkar aib suaminya yang curang dengan wanita lain.

Wanita tersebut dikenali sebagai Najihah Othman berkongsi pengkhianatan suaminya, Hanafi di laman Facebook miliknya dan segelintir warganet menyokong perbuatan wanita itu.

Namun, ada juga yang tidak bersetuju dengan tindakannya yang mendedahkan keaiban pasangan secara terang terangan sedangkan perbuatan tersebut dicela oleh Rasullullah SAW.

Menerusi perkongsian dari Dr. Ahmad Sanusi Azmi menerusi Telegram, dalam al-Quran, ALLAH memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka, dan memelihara dari disakiti.

Firman ALLAH:“Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah: 187)

"Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing," kata Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu.

Tidak kurang juga lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka, sabda Rasulullah:"Sesungguhnya di antara seburuk-buruk manusia di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya.” (HR Muslim)

Tambah Ahmad Sanusi, sekiranya kesalahan tersebut telah sabit, maka selesaikanlah dengan pihak autoriti seperti mana yang digariskan dalam syariat Islam.

"Janganlah dijadikan budaya bahawa setiap kesalahan atau kesilapan suami atau isteri itu dipamerkan dalam media sosial," jelasnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kantoi, Suami, Curang, aib, isteri, Ahmad Sanusi Azmi