SETIAP manusia sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan nafsu dan kemahuan di dunia dan ada ketikanya alpa untuk mengejar urusan akhirat.
Rasulullah SAW mengingatkan kepada umat Islam mengenai kesungguhan manusia mengejar dunia, sehingga mereka lupa bahawa bukan semua perkara yang dikejar itu boleh disumbat ke dalam mulut mereka.
Sabda Rasulullah SAW: "Andai sesungguhnya manusia itu mempunyai satu lembah emas, mereka suka untuk mendapatkan dua buah lembah emas, sedangkan mulut mereka nanti hanya akan dipenuhi dengan tanah sahaja," — Hadis Riwayat al-Bukhari.
Dr Ahmad Sanusi menerusi laman Telegram berkata, elemen tanah yang ditampilkan dalam hadis itu adalah bagi menggambarkan keghairahan nafsu manusia yang sukar dihentikan, melainkan setelah dijemput kematian.
"Peringatan ini bagi adalah mengetuk jiwa manusia agar mereka tidak lupa akan tujuan hidup mereka untuk mengabdikan diri kepada ALLAH, selain menjadikan dunia mekanisme untuk membangun kehidupan sejahtera di akhirat," kata Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu.
Namun, beliau berkata, ini tidak bermakna Rasulullah SAW menghalang para sahabat untuk menjadi kaya dan berusaha di dunia.
Katanya, ada kalangan para sahabat Baginda SAW terdiri daripada usahawan yang jutawan dan kaya-raya.
"Baginda SAW tetap mengingatkan mereka agar sentiasa bermuhasabah dan menjadikan harta mereka benar-benar bermanfaat buat diri mereka sendiri selaras dengan panduan yang telah digariskan di dalam al-Quran," jelasnya. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram